Anda di sini

Semua jawatankuasa pengelola ibadah korban patuhi SOP

 Dr Abdul Rahman melapah daging korban pada Program Ibadah Korban Peringkat DUN Pantai Damai.
BANTU: Dr Abdul Rahman melapah daging korban pada Program Ibadah Korban Peringkat DUN Pantai Damai.

KUCHING: Semua jawatankuasa pengelola ibadah korban di seluruh Sarawak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sekretariat Majlis Islam Sarawak (MIS).

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, walaupun dengan bilangan petugas yang kurang, ibadah korban yang dijalankan tahun ini berjalan lancar.

“Alhamdulillah, jawatankuasa pengelola ibadah korban mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Ibadah Korban Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai di sini, kelmarin.

Menteri Muda Bekalan Air itu berkata, ibadah korban yang dijalankan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mempunyai beberapa kelainan berbanding sebelum ini.

Menurut Dr Abdul Rahman, ia termasuk penubuhan jawatankuasa pengelola, ibadah korban hanya boleh dilaksanakan di masjid atau surau, mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan lembu hendaklah didaftarkan dengan Jabatan Veterinar Sarawak.

“Ini antara SOP yang diperkenalkan sebagai usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19,” ujarnya.

Beliau menambah, jawatankuasa pengelola juga hendaklah memastikan penjarakan sosial dan bilangan petugas ibadah korban yang minimum dipatuhi.

Program ibadah korban itu dianjurkan bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Boyan, PBB Cawangan Pantai Damai, Surau Raudzatussalihin, Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Unit Kampung Boyan dan

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Boyan.

Hadir sama Ketua Kaum Kampung Boyan Abdul Hamid Ahmad dan Ketua Ranting PBB Kampung Boyan Yazit Junaidi.

Advertisement