Anda di sini

Rakyat diingatkan jangan termakan janji kosong PH

 Ripin (kiri) bersama rombongan bergambar di jambatan baharu Kampung Subak Jaya, semalam.
SIAP: Ripin (kiri) bersama rombongan bergambar di jambatan baharu Kampung Subak Jaya, semalam.

MIRI: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya pandai berlakon, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat.

Menurutnya, ketika diberi mandat sebagai kerajaan pusat, tiada projek pembangunan dibawa dan dilaksanakan di konstituensi Lambir.

“Sekarang bila sudah menjadi pembangkang  semula, mulalah mengambil gambar itu ini, berlakon memperjuangkan keperluan rakyat,” tegasnya semalam.

Ripin berkata, sebelum menjadi kerajaan PH menya-lahgunakan gambar dan media sosial untuk mendapat simpati dan sokongan rakyat.

Beliau menambah, ketika menjadi kerajaan mereka sebaliknya menghilang lalu menyepi.

“Mereka sibuk bercakaran dalam merebut jawatan parti dan hanya berjuang untuk mendapatkan jawatan PM (Perdana Menteri),” katanya.

Sehubungan itu, Ripin mengingatkan rakyat agar tidak lagi termakan janji-janji kosong dan manifesto PH dalam kempen pilihan raya mereka.

Mengulas tentang projek pembangunan rakyat Ripin berkata, setiap projek memerlukan perancangan dan penyediaan peruntukan yang kadang-kadang mengambil masa untuk dilaksanakan.

“Kerajaan GPS pimpinan YAB Ketua Menteri Abang Jo (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) sentiasa prihatin dan mengambil peduli keperluan rakyat,” jelasnya.

Ripin semalam melakukan pemeriksaan projek jambatan baharu Kampung Subak Jaya yang telah siap sebelum dise-rahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Beliau turut meninjau kemajuan projek bekalan air luar bandar untuk 10 rumah yang terletak di hujung Kampung Subak Jaya.

“Sebahagian batang paip telah dihantar ke tapak projek dan projek ini akan bermula tidak lama lagi.

“Projek ini sepatutnya bermula pada Mac lalu tetapi tertangguh disebabkan pandemik COVID-19,” jelasnya.

Mengulas tentang keperluan naik taraf jalan raya menghala ke rumah sepuluh keluarga itu, projek telah diluluskan pada tahun lepas dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Beliau meminta penduduk untuk tidak risau kerana GPS akan memastikan projek yang dirancang akan dilaksanakan sepenuhnya.

“Bukan seperti PH yang dalam tempoh dua tahun menjadi kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk  melaksanakan projek-projek keperluan masyarakat luar bandar,” katanya.

Advertisement