Anda di sini

Petronas iktiraf hak Sarawak - Sharifah Hasidah 

 


KUCHING: Tindakan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di dalam kes semakan kehakiman mereka memberi indikasi syarikat itu menerima hak dan mengiktiraf hak Sarawak.

Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (gambar) berkata, Petronas menerima dan mengiktiraf hak Sarawak untuk mengenakan cukai jualan terhadap minyak mentah seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.

Beliau berkata, lebih penting adalah kesediaan Petronas untuk akur kepada undang-undang negeri Sarawak.

"Kita mengalu-alukan keputusan Petronas ini. Ini merupakan langkah yang positif dan menandakan hubungan kerja dan sikap memahami yang lebih baik di antara kerajaan Sarawak dan Petronas

"Saya melihat isu ini sebagai satu perkembangan yang positif dan baik untuk kita maju ke hadapan bagi semua pihak," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasminya hari ini.

Sehubungan itu, kata Sharifah Hasidah, kerajaan Sarawak akan terus mempertahankan hak-hak Sarawak dan mengutamakan kepentingan negeri ini di dalam setiap tindakannya.

Hari ini, Bernama melaporkan Petronas hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum.

Kerajaan Sarawak, pada masa sama juga menarik balik rayuan balas berhubung isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi mengenai cukai jualan negeri (SST).

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Mohd Sofian Abd Razak membatalkan rayuan dan rayuan balas serta memerintahkan setiap pihak menanggung kos masing-masing.

Petronas yang diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan Penasihat Undang-Undang Negeri Dato Sri J.C. Fong yang mewakili kerajaan negeri Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan negeri Sarawak mengesahkan rayuan itu telah ditarik balik.
 

Advertisement