Anda di sini

Pesawat terhempas sejurus berlepas didapati sarat kokain

Advertisement
 Gambar serahan Polis Persekutuan Australia kelmarin menunjukkan pesawat kecil membawa setengah tan kokain yang terhempas ketika cuba berlepas dari Papa Lea Lea, Papua New Guinea pada 26 Julai lalu. — Gambar AFP
TERBONGKAR: Gambar serahan Polis Persekutuan Australia kelmarin menunjukkan pesawat kecil membawa setengah tan kokain yang terhempas ketika cuba berlepas dari Papa Lea Lea, Papua New Guinea pada 26 Julai lalu. — Gambar AFP

SYDNEY: Lima suspek dipercayai anggota sebuah kumpulan jenayah terancang yang berpusat di Australia telah didakwa selepas beratus-ratus kilogram kokain ditemui di dalam sebuah pesawat yang terhempas sejurus berlepas di Papua New Guinea, menurut pihak polis kelmarin.

Polis Persekutuan Australia menyatakan bahawa sikap tamak telah memainkan peranan yang ketara dalam aktiviti sindiket tersebut yang tidak menyangka berat kokain tersebut menjejaskan kemampuan pesawat untuk berlepas.

Kelima-lima suspek yang dinyatakan sebagai anggota sebuah sindiket jenayah berpusat di Melbourne yang mempunyai kaitan dengan jenayah terancang mafia Itali, telah didakwa dengan bersubahat untuk mengimport 500 kilogram kokain bernilai kira-kira Aus$80 juta dan jenayah lain yang berkaitan, kata polis dalam satu kenyataan.

Nahas berlaku pada 26 Julai semasa pesawat yang membawa dadah itu cuba untuk berlepas dari sebuah lapangan terbang kecil terpencil di Papa Lea Lea, kira-kira 30 kilometer di utara bandar Port Moresby di Papua New Guinea, dalam perjalanan ke Australia.

Timbunan kokain, yang menurut polis bernilai kira-kira AS$500,000 dalam pasaran gelap, telah ditemui pada Jumaat lepas, menurut pihak Polis Persekutuan Australia.

Lima suspek terbabit yang tiada dalam pesawat namun dikaitkan dengan operasi penyeludupan berkenaan, telah ditangkap di Queensland dan Victoria selepas pesawat ringan model Cessna itu berlepas di Lapangan Terbang Mareeba di Australia pada 26 Julai bagi misinya ke Papua New Guinea.

Mereka berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup sekiranya disabitkan. — AFP

Advertisement