Anda di sini

PDP pendukung kuat Gabungan Parti Sarawak

 Subeng menyampaikan ucapan pada Majlis Bersama Rakyat di Rumah Matar, Sungai Sebilik, Lubok Renit, Awik semalam.
AMANAT: Subeng menyampaikan ucapan pada Majlis Bersama Rakyat di Rumah Matar, Sungai Sebilik, Lubok Renit, Awik semalam.

SARATOK: Ahli Majlis Tertinggi Parti Demokratik Progresif (PDP) Subeng Mula berkata PDP terus menjadi pendukung kuat Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, langkah ini amat penting memastikan kestabilan politik dan pembangunan negeri ini dilaksanakan seperti dirancang tampuk kepimpinan negeri sedia ada.

“Kini, Kerajaan Sarawak mempunyai gabungan parti yang kukuh dan mempunyai satu agenda iaitu bergerak bersama dengan rakyat tanpa mengira usia dan bangsa bersama membangunkan negeri ini daripada pelbagai aspek.

“Di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pelan pembangunan digerakkan segenap tempat di negeri ini dengan matlamat merapatkan jurang pembangunan khususnya kawasan bandar dan luar bandar.

“Kita berharap masyarakat negeri ini terus memberi sokongan padu kepada kerajaan GPS memastikan kestabilan politik dan pembangunan dilaksanakan seperti dirancang,” katanya pada Majlis Bersama Rakyat di Rumah Matar, Sungai Sebilik, Lubok Renit, Awik dekat sini semalam.

Majlis itu dihadiri sekitar 200 orang terdiri daripada penduduk setempat.

Menurut Subeng, negeri ini amat memerlukan kerajaan stabil dan memahami keperluan rakyat khususnya peringkat akar umbi.

“Kita yakin rakyat melihat sendiri peranan berkesan kerajaan sedia ada yang sangat prihatin terhadap nasib rakyat serta sentiasa tampil menghulur bantuan lebih-lebih lagi ketika rakyat berdepan cabaran ekonomi muram dan kekangan melakukan kegiatan ekonomi kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pelbagai bantuan disalurkan kepada rakyat dalam tempoh PKP dan semua itu adalah meringankan beban ditanggung rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” jelasnya.

Advertisement