Anda di sini

Lelaki lemas ketika berkelah di Pakan

Air terjun Wong Kuji lokasi kejadian yang telah meragut nyawa seorang lelaki yang dilaporkan sedang berkelah bersama dengan rakan-rakannya hari ini.
Lokasi air terjun yang menjadi lokasi perkelahan mangsa bersama tiga rakannya pada Ahad. - Gambar ihsan bomba

BINTANGOR: Aktiviti perkelahan empat sekawan di air terjun Wong Kuji, Batu 8, Jalan Engkamop di Pakan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas pada Ahad. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata mangsa yang lemas dikenali sebagai Sat Renang, 33, dari Rumah Rampoo, Sungai Paoh Sarikei.

Katanya, apabila tiba di lokasi selepas menerima panggilan kecemasan jam 3.37 petang, pasukan bomba mendapati mangsa yang dilaporkan hilang telah ditemui dan dibawa oleh orang kampung ke jalan utama.

"Mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Wong Kuji yang terletak di daerah Pakan, kerap dikunjung oleh masyarakat kerana ia mempunyai keunikan dan tiga tingkat.

Mangsa dibawa ke jalan utama sebelum disahkan meninggal dunia. - Gambar ihsan bomba
Mangsa dibawa ke jalan utama sebelum disahkan meninggal dunia. - Gambar ihsan bomba

Menurut Nicholas, berdasarkan maklumat yang diterima oleh rakan mangsa, mereka berempat tiba di Wong Kuji pada jam 11 pagi.

"Ketika mereka sedang mandi, mangsa dilaporkan telah terjun dari tingkat dua air terjun terbabit namun tidak timbul-timbul selepas  itu.

"Rakan-rakan yang menyedari mangsa tidak timbul terus cuba menyelamat mangsa.

"Mangsa telah berjaya dibawa ke tebing, namun mangsa tidak memberi sebarang tindak balas setelah beberapa tindakan dibuat untuk menyedarkan mangsa oleh rakan-rakan mangsa," ujar Nicholas lagi.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


 

Advertisement