Anda di sini

JPBBM patuhi arahan, peraturan JPBNS dalam pemeriksaan, swab kesan COVID-19

Advertisement
 Lee bercakap kepada petugas Pejabat Kesihtan Miri semasa mengadakan tinjauan ke pusat sehenti bagi pemeriksaan COVID-19 di Stadium Tertutup Miri semalam.
TINJAU: Lee bercakap kepada petugas Pejabat Kesihtan Miri semasa mengadakan tinjauan ke pusat sehenti bagi pemeriksaan COVID-19 di Stadium Tertutup Miri semalam.

MIRI: Bagi melancarkan proses pemeriksaan atau swab mengesan dan membendung penularan wabak COVID-19 di negeri ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBBM) mematuhi arahan dan peraturan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Ne-geri Sarawak (JPBNS).

Menteri bertanggungjawab terhadap JPBBM  Datuk Lee Kim Shin berkata seiring dengan dasar kuarantin dari tempoh 1 hingga 14 Ogos ini, JPBBM menegaskan bahawa penduduk dan pelawat dari Semenanjung Malaysia, Labuan dan Sabah kembali ke Miri dan alamat tempat tinggal mereka berada di sini wajib menjalani perintah kuarantin di rumah seperti diarah pegawai kesihatan.

“Tarikh dan masa mereka menjalani pemeriksaan swab hari kedua direkodkan dan ditulis dalam dokumen Perintah Kuarantin,” katanya sambil menambah, mereka perlu datang ke pusat pemeriksaan ditetapkan iaitu di Stadium Tertutup Miri.

“Pemeriksaan mereka diambil oleh anggota kesihatan ditempatkan di sana,” ujarnya sambil menambah, Stadium Tertutup Miri baharu sahaja disiapkan sebagai pusat sehenti pemeriksaan swab COVID-19.

Sepanjang tempoh ini, pusat itu memenuhi kemasukan pelancong yang memerlukan pemeriksaan swab buat kali kedua mengikut tarikh dan hari ditetapkan.

Katanya, Stadium Tertutup Miri mempunyai kelebihan dari segi kemudahan tempat letak kereta dan pengudaraan baik dan ruang luas untuk orang awam serta amat sesuai untuk petugas penjagaan kesihatan melakukan pemeriksaan.

Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan atau sanitasi kawasan itu dilakukan setiap hari oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri.

“Pelawat datang wajib mengikuti temu janji swab hari kedua ke Stadium Tertutup Miri. Sila pakai pelitup separuh muka tiga lapis dan mematuhi peraturan jarak fizikal.

“Setelah prosedur pemeriksaan atau swab selesai, mereka harus kembali ke rumah semula untuk meneruskan proses kua-rantin,” katanya.

Hasil sapuan diberitahu kepada mereka melalui SMS Infoblast ke telefon mereka. Setelah keputusan diterima, mereka boleh datang ke Stadium Tertutup Miri untuk mendapatkan pelepasan perintah kuarantin.

Bagi pengembara atau mereka yang tinggal di luar kawasan Miri seperti di Subis, Beluru, Marudi dan Telang Usan akan dimasukkan ke pusat kuarantin kerajaan (hotel ditentukan) sebaik tiba di Lapangan Terbang Miri serta Pos Imigresen dan Kastam Sungai Tujoh.

Mereka dibawa ke pusat kuarantin melakukan pemeriksaan dan seterusnya pemeriksaan kali kedua.

Hanya jika hasilnya negatif maka mereka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dengan pelepasan perintah kuarantin.

Lee turut menekankan bahawa pelawat atau penduduk mempunyai sejarah baru pulang dari luar negara (termasuk Brunei) dikuarantin di pusat kuarantin (di hotel yang ditentukan) dan swab dilakukan pada hari kedua dan hari ke-10.

Sebaik sahaja hasilnya adalah negatif dan selesai 14 hari kuarantin, baharulah mereka dibenarkan pulang ke rumah atau kediaman masing-masing.

Bagi pihak JPBBM, Lee merayu semua penduduk dan pelawat datang ke bandar raya ini mengambil perhatian peraturan ini dan mematuhi garis panduan ditetapkan JPBNS.

“JPBBM sentiasa berikrar menjadikan keseluruhan langkah pemeriksaan dan pencegahan COVID-19 dilaksanakan secara teliti dan sokongan serta kerjasama  semua pihak amatlah diperlukan dan dihargai,” katanya.

Advertisement