Anda di sini

Individu di bawah senarai bujang B40 tidak lagi layak menerima bantuan bulanan BKSS

Advertisement
Gambar fail Bernama 

KUCHING: Sebanyak 115,450 penerima yang kini tersenarai di bawah Bantuan Sara Hidup (BSH) bujang B40 tidak lagi layak menerima bantuan bulanan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS), berkuat kuasa bulan lepas.

Unit Perancang Ekonomi Negeri Sarawak dalam satu kenyataan, berkata, terdapat aduan daripada sebilangan kecil penerima isi rumah B40 bahawa mereka tidak lagi menerima bantuan BKSS bagi bulan Julai walaupun telah menerima bantuan B40 BKSS pada bulan April hingga Jun lalu.

"Ini kerana, berdasarkan senarai BSH 2020 yang dikemas kini dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia, terdapat 115,450 penerima yang sebelum ini berada di bawah senarai isi rumah BSH B40, kini disenaraikan di bawah senarai BSH Bujang B40," kata kenyataan hari ini.

Dalam satu kenyataan berhubung status BKSS 2020 bertarikh 17 Julai lalu, kira-kira 78,123 isi rumah B40 dan 270,863 golongan bujang B40 akan menerima bayaran hujung bulan Julai.

Setakat 1 Ogos, bagi insentif BKSS untuk isi rumah B40 layak berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan, sebanyak 43,481 dari 78,123 isi rumah B40 dengan akaun bank menerima bayaran RM250 di bank masing-masing pada 29 Julai, dengan perbelanjaran anggaran RM10.87 juta. 

"Bagi baki 34,642 penerima dari kalangan isi rumah yang tidak mempunyai akaun bank, bayaran tunai boleh dituntut dari Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 7 Ogos ini," katanya lagi.

Setakat 1 Ogos juga, sebanyak 218,489 dari 270,863 penerima bantuan bujang B40 berusia 21 tahun ke atas berpendapatan RM2,000 sebulan yang mempunyai akaun bank, telah menerima bantuan sekali bayar berjumlah RM500 menerusi bank masing-masing pada 29 Julai.

"Bagi jumlah selebihnya 52,374 penerima bantuan bujang B40 yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran tunai boleh dituntut dari BSN mulai 7 Ogos 2020," ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, status pelaksanaan insentif pembayaran tunai BKSS yang lain seperti insentif bulanan khas untuk petugas barisan hadapan yang terlibat dalam COVID-19,  seramai 30,319 orang telah menerima insentif pembayaran sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh April hingga Julai, dengan jumlah perbelanjaan berjumlah RM13.5 juta.
 
Manakala bagi penjaja dan peniaga kecil, setakat 29 Julai, sejumlah 28,091 orang dibayar melalui Sarawak Pay menerusi dua bahagian, dengan jumlah pembayaran berjumlah RM21,068,250.  

"Kira-kira 16,867 penjaja dibayar melalui BSN menerusi dua peringkat dengan pembayaran berjumlah RM12,650,250," katanya lagi.

Para penerima boleh melayari laman web https://www.sarawak.gov.my/web/home/article_view/233/326/ mulai 6 Ogos untuk menyemak status pembayaran BKSS.

  • oleh
  • Advertisement