Anda di sini

Guna kaedah fertigasi

Advertisement
 Uggah tertarik melihat sayur yang tumbuh subur ketika mengunjungi gerai pameran pada Majlis Penutupan Taklimat Pembangunan Tanah dan Agrotani kawasan DUN Tarat di Dewan Serba Guna Teng Bukap, Siburan semalam.
KAGUM: Uggah tertarik melihat sayur yang tumbuh subur ketika mengunjungi gerai pameran pada Majlis Penutupan Taklimat Pembangunan Tanah dan Agrotani kawasan DUN Tarat di Dewan Serba Guna Teng Bukap, Siburan semalam.

KUCHING: Petani di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat digalak menggunakan kaedah penanaman sistem fertigasi bagi meningkatkan lagi pendapatan mereka.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sehubungan itu beliau meluluskan  sebanyak 1,000 tong kepada penduduk Tarat untuk tujuan tanaman fertigasi.

“Kaedah pertanian moden ini berpotensi membantu para petani mendapatkan hasil yang  dapat dikomersial sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

“Justeru, kita mahu menggalakkan ramai petani menggunakan sistem fertigasi misalnya untuk menanam terung asam, cili dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Taklimat Pembangunan Tanah dan Agrotani bagi Kawasan DUN Tarat di Dewan Serba Guna Teng Bukap di Siburan dekat sini, semalam.

Sementara itu, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, kementeriannya akan membangunkan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan produk pertanian (CPPC) mini di kawasan Teng Bukap.

“Saya luluskan CPPC mini di Teng Bukap untuk membantu para petani di sini. Di samping itu, saya akan berbincang untuk menaik taraf jalan ladang bagi memudahkan para petani di kawasan ini mengangkut hasil tanaman,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memohon rakyat terus menyokong kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya, banyak program telah diatur oleh kerajaan GPS untuk kesinambungan pembangunan negeri ini yang seterusnya dapat meningkatkan pendapatan rakyat.

“Apa yang paling penting ialah sokongan rakyat kepada GPS untuk memastikan negeri kita terus maju pada masa akan datang. Hanya GPS dapat menentukan masa depan yang cerah untuk Sarawak,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan GPS yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg amat prihatin terhadap kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Terdahulu, Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah Wee Inn memohon agar Teng Bukap dihidupkan semula sebagai sebuah pasar sekali gus menjadi pusat kegiatan ekonomi masyarakat di kawasan berkenaan.

Sagah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat berkata, terdapat lebih 20 kampung di kawasan itu, sebuah sekolah menengah dengan lebih 1,000 pelajar dan klinik.

“Dan kami sudah ada kerjasama dengan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) membuat konsep untuk memulakan pembinaan enam unit kedai di sini supaya kawasan ini dihidupkan semula sebagai sebuah pasar,” katanya.

Beliau turut memohon agar CPPC mini ditubuhkan di Teng Bukap untuk diusahakan bersama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Siburan dan PPK Serian bagi memberi kemudahan kepada para petani selain mengenai perdagangan dan keusahawanan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail dan Pengarah Pertanian Sarawak Dr Alvin Chai.

Advertisement