Anda di sini

Bersediakan hotel kembali dijadikan pusat kuarantin?

Advertisement
 

SIKAP acuh tak acuh beberapa individu yang melanggar perintah kuarantin dan tular di media sosial termasuk '’Makcik Gelang Pink" dan puluhan  individu lain membuatkan kerajaan terpaksa membuat pusingan 'U'.

Berkuat kuasa 24 Julai, kerajaan mewajibkan prosedur Kuarantin Wajib 14 hari kepada mana-mana warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara di Stesen Kuarantin yang ditetapkan oleh Kerajaan, sama ada di institut latihan awam atau hotel.

Rasa cemas dan bimbang juga dilkongsi netizen apabila melihat ratusan orang membanjiri perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mengikuti keputusan hasil perbicaraan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Julai lepas.

Ini memandangkan peningkatan kes penularan tempatan COVID-19 sejak kebelakangan ini ada yang kembali dua angka. Pada 28 Julai, sebanyak 39 kes baharu direkod, iaitu yang tertinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan pada 10 Jun.

Jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di negara ini sehingga 2 Ogos ialah 8,999 kes dengan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 meningkat kembali tiga angka iaitu 210, berbanding hanya 63 kes pada 9 Julai lepas.

Setakat ini dilaporkan terdapat sebanyak  24 kluster masih aktif, antaranya Kluster Bukit Tiram  di Johor, melibatkan pusat keagamaan yang turut membabitkan kes import dari Filipina dan Kluster Sivagangga yang melibatkan seorang pemilik kedai makan di Kedah yang kembali ke tanah air dari India dan melanggar peraturan kuarantin. Setakat Ahad 2 Ogos, kluster ini merekod 20 kes positif COVID-19.

Akibat kegagalan mematuhi perintah, tiada lagi kuarantin di rumah dan antara impak utama situasi ini adalah penggunaan semula hotel sebelum ini ditutup sebagai stesen kuarantin.

Antara keuntungan dan tanggungjawab, kini rata-rata hotel seolah 'tersepit' memandangkan mereka baru sahaja hendak bernafas selepas berdepan penutupan dan mengalami kerugian mencecah jutaan ringgit sejak serangan virus COVID-19 sejak Mac lepas.

HOTEL DIINFEKSI, PATUH SOP KETAT

Bagi seorang pengurus pemasaran sebuah hotel yang enggan dikenali berkata meskipun pihaknya pernah dijadikan pusat kuarantin untuk mereka yang pulang dari luar negara, setakat ini ia tidak menjejaskan kehadiran pengunjung sepanjang PKPP ini  malah mereka tidak kisah untuk menginap di hotel itu.

“Hotel kami yang digazetkan sebagai pusat kuarantin sebenarnya diberi penerangan jelas mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan seluruh sudut bangunan diinfeksi sebaik sahaja ada Individu Di Bawah Pengawasan (PUS) yang daftar keluar. Jadi tiada masalah sebenarnya untuk terima pelanggan.

“Cuma keadaan industri pelancongan pada masa sekarang kurang memuaskan, terutamanya hotel kerana kebanyakan hotel bergantung kepada pelancong dari luar negara," jelasnya.

Sedar akan SOP Majlis Keselamatan Negara yang menggariskan mana-mana hotel yang dijadikan pusat kuarantin tidak dibenarkan menerima pelanggan luar, beliau bagaimanapun melihat sisi positif apabila hotel sekali lagi dijadikan stesen kuarantin.

Inisiatif kerajaan menjadikan hotel sebagai penginapan wajib selama 14 bagi PUS sebenarnya membantu pengendali hotel memulihkan kembali sektor pelancongan dan industri perhotelan di negara ini.

“Kami belajar dari pengalaman lalu dan sebenarnya kebanyakan daripada pengunjung yang menginap sedar tentang SOP sementara pihak kami sendiri, sentiasa melakukan pembersihan dan sanitasi bagi memastikan bilik hotel dan ruang awam selamat dari kuman," katanya.

Tidak gentar dengan imej sebagai stesen kuarantin, pihak hotel percaya kebimbangan dijangkiti selepas menginap tidak wujud memandangkan semua proses mengikut SOP ditetapkan sebelum orang awam dibenarkan menginap.

Malahan, beliau menjelaskan pelanggan yang mungkin tahu, tidak terkesan untuk menginap di hotel yang sebelum ini dijadikan stesen kuarantin dan berasa selamat apabila mengetahui semua proses sanitasi yang dilakukan.

“Lagipun, ia (hotel dijadikan stesen kuarantin) bukan benda yang rahsia memandangkan rata-rata 'penginap' mengetahui status hotel sepanjang PKP menerusi lama-laman web pelancongan yang menyatakan hotel ditutup kerana COVID-19.

“Malah kerajaan sendiri menyenaraikan hotel yang dijadikan stesen kuarantin. Jadi pengunjung memang tahu apabila kami buka semula ketika PKPP,” jelasnya.

ANTARA RISIKO

Tidak menolak agak 'terganggu' dengan beberapa insiden barangan di dalam bilik hotel dirosakkan oleh PUS, pegawai pemasaran itu mengakui perkara itu adalah antara risiko standard yang perlu dihadapi, bukan hanya pada ketika dijadikan pusat kuarantin. 

“Mana-mana hotel akan mengalami kejadian barangan di dalam bilik dirosakkan malah dicuri pelanggan. Kejadian ini lumrah apabila seseorang itu tinggal dalam tempoh yang lama di dalam bilik yang sama," katanya.

Turut berkongsi pendapat seorang pengurus besar sebuah hotel tiga bintang di ibu negara yang mengakui perniagaan mereka terjejas teruk ketika PKP.

“Sempadan negara masih belum dibuka dan sebelum PKP, 60 peratus adalah terdiri daripada pelancong luar negara. Sekarang kadar kemasukan pelanggan hanya 10 peratus sahaja dan pihak kami juga terpaksa mengurangkan jumlah pekerja sehingga kini.

“Untuk memulihkan industri perhotelan perlu dipulihkan, kami bersedia menjadikan hotel sebagai pusat kuarantin sebagai usaha untuk meringankan kerugian yang terpaksa ditampung akibat PKP dan ketiadaan pelancong," katanya.

Untuk rekod, bermula kemasukan Julai, setiap PUS perlu membayar sendiri dan dikenakan harga penuh penginapan berbanding dengan fasa pertama yang ditanggung oleh kerajaan iaitu RM150 setiap malam.

TIADA MASALAH PUSAT KUARANTIN PUS

Memahami keperluan pengendali hotel yang kini bergelut untuk kembali pulih akibat pandemik COVID-19, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman menjelaskan keputusan penarikan diri beberapa hotel yang sebelum ini dijadikan stesen kuarantin tidak menimbulkan masalah dalam menempatkan PUS.

Seramai 3,384 individu dilaporkan pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai hingga semalam (1 Ogos). Daripada jumlah itu, seramai 13 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala bakinya ke stesen kuarantin.

Mereka tiba dari 23 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda dan Australia.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan, mereka ditempatkan di 14 hotel serta lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor dan Johor.

Sama seperti ketika bermulanya arahan semua ketibaan daripada luar negara di stesen kuarantin kerajaan pada 3 April lepas, peraturan yang dikuatkuasakan semula pada 24 Julai juga tidak mengizinkan individu memilih stesen kuarantin yang mana lokasi hotel kuarantin akan dimaklumkan sebaik ketibaan kerana ia bergantung kepada ketersediaan hotel pada hari tersebut.

“Setakat ini tidak timbul masalah kerana pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang bertanggungjawab menguruskan stesen kuarantin juga menerima permohonan daripada hotel lain yang menawarkan hotel mereka sebagai stesen kuarantin.

“Kita bersyukur kerana masih banyak yang ingin bekerjasama dan menawarkan hotel mereka untuk dijadikan stesen kuarantin walaupun dalam keadaan yang serba 'terikat' ini," kata Mohtar kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas kesiapsiagaan NADMA dan kerjasama daripada pelbagai agensi serta pihak hotel dalam menyedia dan menguruskan stesen kuarantin dan kebimbangan jumlah pesakit bakal meningkat, beliau mengakui pihaknya banyak belajar daripada pengalaman lalu malah menambah baik banyak perkara.

Seperti mana SOP sebelum ini, Mohtar menjelaskan penggunaan hotel pada satu-satu masa juga dihadkan termasuk menggunakan hotel lain sekiranya hotel sedia ada hampir atau sudah penuh.

Ini bagi melancarkan pemantauan dan pengurusan oleh pihak perubatan, keselamatan dan sekretariat yang ditempatkan di setiap hotel dengan beroperasi 24 jam sehari.

“Semua ini kami lakukan dengan bersandarkan pengalaman mengendalikan stesen kuarantin dahulu, terutama melibatkan 'the Do’s and Don’ts'. Cuma dahulu ketika peraturan ini berkuatkuasa, semua hotel tidak beroperasi atas arahan PKP," jelasnya.  - Bernama 

  • oleh
  • Advertisement