Anda di sini

Terpulang kepada budi bicara Ketua Menteri menentukan calon wanita

Advertisement
 Esther (lima kanan) menyampaikan cenderamata kenangan kepada Fatimah sambil disaksikan yang lain.
UNTUKMU: Esther (lima kanan) menyampaikan cenderamata kenangan kepada Fatimah sambil disaksikan yang lain.

MIRI: Sayap Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyerahkan kepada budi bicara Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selaku presiden parti menentukan calon-calon wanitanya sama ada bilangan mereka ditambah atau dikekalkan.

Ketua Wanita PBB Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, tumpuan utama mereka memilih calon boleh menang dan seterusnya memastikan kemenangan bergaya calon-calon PBB bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) nanti.

“Pada PRN12 nanti, sama ada tambah calon (wanita) dan menentukan siapa calon atau sama ada kami (penyandang) kekal menjadi calon atau sebaliknya terpulang kepada Ketua Menteri,” katanya ketika ditemui pada Program Sarawak Kita Empun (SKE) 2020 bagi Zon 14, Parlimen Baram di sini semalam.  

Menurutnya, pada pilihan raya perkara paling penting ialah calon boleh menang dan beliau berharap ramai lagi calon wanita namun perkara pertama diharapkan calon boleh menang bergaya.

“Siapa (calon) dipilih nanti terpulanglah kepada Ketua Menteri selaku presiden parti,” kata Fatimah sambil memberitahu bahawa Wanita PBB sudah bersiap sedia di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menghadapi PRN12 nanti.

Pada PRN lalu (termasuk Pilihan Raya Kecil), seramai lima calon wanita diketengahkan daripada PBB iaitu Fatimah (Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak) Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu dan ADUN Lingga Simoi Peri.

Fatimah berkata, satu daripada fokus Wanita PBB juga menyimpan hasrat dan impian melihat lebih ramai pemimpin wanita bukan sahaja dalam parti politik tetapi juga dalam penjawat awam, korporat dan sebagainya.

“Kita mahu jumlah pemimpin wanita bertambah dari tahun ke tahun. Itu hasrat kita tetapi dalam pada itu wanita sendiri perlu bersedia dari segala segi kualiti yang diperlukan menjadi seorang pemimpin,” katanya.

Mengenai Program SKE 2020, Fatimah berkata ia sudah dilaksanakan sebelum pandemik COVID-19 namun ditangguh seketika berikutan wabak itu dan kini menyedari PRN semakin hampir maka diteruskan semula dengan norma baharu.

“Kita memberi tumpuan kepada jentera Wanita PBB bagi memastikan kemenangan calon kita. Kemenangan bukan sahaja ditentukan siapa calon iaitu calon boleh menang tetapi kecekapan jentera parti.

“PRN akan datang ini tentunya penting kerana kali pertama Ketua Menteri (Abang Johari) mengetuai PRN kali ini dan pertama kali menggunakan GPS,” jelasnya.

Fatimah berkata, perlu bagi memastikan rakyat negeri ini tahu dan kenal dengan GPS serta perjuangan dan perkhidmatan untuk rakyat dengan inisiatif-inisiatif menyakinkan rakyat bahawa GPS adalah pilihan paling tepat.

Turut hadir Timbalan Speaker yang merangkap ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala, ADUN Telang Usan Dennis Ngau serta Sharifah Hasidah dan pengerusi penyelaras program Datin Esther Balan Mujan yang juga Ketua Wanita PBB Cabang Mulu.

Advertisement