Anda di sini

PSG raih kejuaraan ‘treble’ domestik

Advertisement
 Pemain dan kru pasukan PSG meraikan kejayaan mereka yang dinobatkan sebagai juara Liga Perancis selepas menewaskan Olympique Lyonnais dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stade de France di Saine-Denis. — Gambar AFP
DETIK MANIS: Pemain dan kru pasukan PSG meraikan kejayaan mereka yang dinobatkan sebagai juara Liga Perancis selepas menewaskan Olympique Lyonnais dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stade de France di Saine-Denis. — Gambar AFP

PARIS: Pablo Sarabia menjaringkan gol kemenangan dalam penentuan tendangan penalti untuk memanaskan Paris Saint-Germain (PSG) bagi kempen mereka dalam Liga Juara-Juara di Lisbon dengan menewaskan Lyon dalam perlawanan akhir Liga Perancis kelmarin untuk memenangi lagi kejohanan ‘treble’ domestik.   

Pemain Sepanyol itu melakukan jaringan kemenangan itu selepas Keylor Navas menyelamatkan tendangan Bertrand Traore untuk membolehkan PSG menang 6-5 dalam penentuan penalti selepas perlawanan di Stade de France berakhir 0-0 pada hujung masa tambahan.

Kemenangan itu dicapai seminggu selepas mereka menewaskan Saint-Etienne 1-0 dalam perlawanan akhir Piala Perancis, iaitu perlawanan kompetitif pertama di bumi Perancis sejak penutupan akibat COVID-19.

Mereka sebelum itu dianugerahkan kejuaraan Ligue 1 kerana menduduki tempat teratas apabila musim ditamatkan pada April lalu dengan 10 pusingan perlawanan dibatalkan kerana krisis kesihatan.

Sebelum penentuan tendangan penalti, pasukan Thomas Tuchel menguasai perlawanan yang tegang pada malam yang panas, tetapi mereka amat merasai ketiadaan Kylian Mbappe.

Bintang Perancis yang memakai pelitup muka itu menonton dari tempat duduk penonton apabila Lyon menangkis asakan PSG selama dua jam sebelum pemain pertahanan Brazil Rafael dibuang dari padang kerana menebang Angel Di Maria di tepi kotak penalti pada hujung masa tambahan.

Mbappe cedera dalam perlawanan akhir Piala Perancis pada minggu lepas, dengan buku lali terseliuh yang kemungkinan besar tidak akan membolehkannya untuk bermain dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara menentang Atalanta di Lisbon pada 12 Ogos.

PSG ingin sekali menikmati kejayaan yang dapat dilihat di Eropah tetapi berdasarkan bukti ini, mereka masih ada beberapa kelemahan untuk diatasi sebelum bersedia bagi ujian itu.

“Kami terseksa tetapi ia adalah indah untuk menang pada akhirnya. Kami akan meraikan ini dan kemudian esok, kami akan mula memikirkan tentang satu lagi perlawanan besar,” kata Marco Verratti yang bermain dengan cemerlang kepada televisyen France 2.

Ini merupakan kejuaraan ‘treble’ keempat bagi kelab milik warga Qatar itu sejak enam tahun lalu, tetapi Piala Liga, satu pertandingan yang tidak disukai, akan dihentikan pada musim akan datang.

Sementara itu, ini merupakan perlawanan kompetitif yang satu-satunya bagi Lyon sejak awal Mac lalu sebelum mereka melakukan lawatan yang mencabar ke Turin untuk menentang Juventus dalam perlawanan pusingan kedua peringkat 16 Liga Juara-Juara pada Jumaat akan datang.

Sekurang-kurangnya mereka ada kelebihan 1-0 untuk dipertahankan, tetapi mereka masih perlu bermain dengan lebih baik berbanding apa yang mereka pamerkan.

PSG mencipta hampir kesemua peluang yang baik walaupun Mauro Icardi kelihatan hambar di depan.

Neymar kelihatan lebih tajam, selepas menjaringkan gol kemenangan baru-baru ini dalam perlawanan akhir Piala Perancis.

Dia memperolehi peluang pertama dalam perlawanan itu apabila dia meledakkan rembatan kali pertama yang tersasar sedikit daripada hantaran Thiago Silva pada minit kelapan, dan dia turut menyaksikan tandukannya ditolak ke atas oleh penjaga gol Lyon Anthony Lopes pada hujung masa biasa sebelum seterusnya menjaringkan gol dengan tenang dalam penentuan tendangan penalti.

Di antara kedua-dua peluang tersebut, Lopes turut menyelamatkan bola dengan menakjubkan untuk menolak ke atas satu rembatan kencang Idrissa Gueye pada hujung babak pertama.

Prestasi Verratti di bahagian tengah merupakan satu perkara yang sangat positif bagi Tuchel yang juga ada masalah besar di bahagian pertahanan selain kecederaan yang dialami Mbappe.

Di sini, pemain pertahanan kiri Layvin Kurzawa diperlukan di bahagian kanan tetapi terpaksa dikeluarkan kerana cedera pada pertengahan babak kedua.

Sementara itu Lyon kini tidak akan bermain di Eropah pada musim akan datang buat pertama kali dalam tempoh 24 tahun, kecualilah jika mereka memenangi Liga Juara-Juara.

PSG, Marseille dan Rennes akan menjadi wakil Perancis dalam Liga Juara-Juara 2020/21, manakala Reims kini menyertai Lille dan Nice dalam Liga Europa. — AFP

Advertisement