Anda di sini

Latih doktor Sabah, Sarawak sebagai doktor pakar

Advertisement
 Dr Wong (tiga kanan), Wong (empat kiri), Teo (empat kanan) serta yang lain pada sidang media di UCA Sibu semalam.
MOHON SELESAIKAN: Dr Wong (tiga kanan), Wong (empat kiri), Teo (empat kanan) serta yang lain pada sidang media di UCA Sibu semalam.

SIBU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) harus memberi keutamaan kepada doktor Sabah dan Sarawak untuk dilatih sebagai doktor pakar dalam apa jua bidang kepakaran sebagai usaha mengatasi masalah kekurangan doktor pakar di kedua-dua negeri ini.

Pengerusi Majlis Perubatan Malaysia (MMC) Cawangan Sibu Dr Wong Chya Wei percaya mereka akan kembali berkhidmat di negeri asal masing-masing selepas dilatih menjadi doktor pakar.

“Oleh itu, saya sekali lagi mendesak KKM untuk memandang serius masalah ini agar lebih ramai doktor dari Sabah dan Sarawak diterima dalam sistem latihan kepakaran untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan di kedua-dua negeri,” jelasnya.

Dr Wong berkata umum mengetahui bahawa jumlah doktor perubatan di negara ini telah mencapai nisbah antarabangsa iaitu seorang doktor kepada 550 orang.

“Namun, kami masih kekurangan doktor pakar,” jelasnya ketika ditemui pemberita di bangunan Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sibu di sini semalam.

Hadir sama ialah Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dudong Wong Ching Yong dan Pengerusi Jawatankuasa Unit Tugas Khas UCA Untuk Akreditasi Penuh Ijazah Perubatan di China UCA Sibu Teo Kin Hin.

Selama bertahun-tahun, katanya latihan profesional semasa di Malaysia di universiti awam telah menunjukkan peningkatan jumlah doktor pakar.

“Namun, masih belum cukup jika dilihat pada populasi per kapital. Di Sarawak, selain dari bandar-bandar seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, semua hospital daerah seperti Kapit, Lawas dan bahkan Sarikei masih kekurangan doktor perubatan dalam bidang kepakaran,” katanya.

Sementara itu, Teo berkata UCA Sibu menyokong penuh cadangan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian untuk menubuhkan Majlis Perubatan Sarawak (SMC).

“Usaha ini bukan hanya menyelesaikan isu-isu perubatan dan masalah pengagihan jawatan dan penempatan doktor di Sarawak, rakyat Sarawak juga dapat menikmati kemudahan perubatan yang lebih baik dengan khidmat doktor-doktor yang berasal dari negeri ini,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement