Anda di sini

KPDNHEP rampas 1,357.91 liter diesel dalam tong dram

Advertisement
 KPDNHEP Miri merampas minyak diesel yang diisi ke dalam tong dram setelah didapati tidak mempunyai permit khas daripada kementerian.
KESALAHAN: KPDNHEP Miri merampas minyak diesel yang diisi ke dalam tong dram setelah didapati tidak mempunyai permit khas daripada kementerian.

MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri merampas 1,357.91 liter diesel diisi ke dalam tong dram oleh seorang pembeli lelaki dan didapati tidak memiliki permit khas dibenarkan di sebuah stesen minyak di Lambir kelmarin.

Ketua Cawangan KPDNHEP Miri Joe Azmi Jamil berkata rampasan terbabit melibatkan anggaran nilai berjumlah RM2,471.39.

“Selain minyak diesel turut dirampas adalah sebuah kenderaan pikap dianggarkan bernilai RM50,000.

“KPDNHEP mengingatkan mana-mana peniaga atau orang perseorangan, tidak boleh sesuka hati membeli diesel di stesen minyak dengan mengisi minyak ke dalam tong dram,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.

Berhubung rampasan terbabit, Joe Azmi berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

Sementara itu, beliau berkata individu atau peniaga perlu memiliki permit khas yang dikeluarkan oleh KPDNHEP untuk mengisi diesel ke dalam tong dram.

“Permit khas diberikan kepada pihak kontraktor dilantik oleh kementerian (KPDNHEP) menghantar minyak tersebut ke kawasan luar bandar.

“Mereka memang mendapat permit daripada kementerian membeli di stesen terpilih.

“Permit khas diberikan bagi kegunaan penjana kuasa rumah panjang, jentera, pertanian dan nelayan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Joe Azmi berkata membeli minyak diesel tanpa permit khas terbabit menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 21 akta sama.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan rondaan dan pemantauan berterusan mengekang gejala membeli diesel dan diisikan ke dalam tong dram tanpa mempunyai permit khas sah.

Advertisement