Anda di sini

‘Bento’, peralatan khas untuk menangkap ketam

Advertisement
BENTO MODEN
BENTO MODEN

KUCHING: Istilah ‘bento’ tidak asing dalam kalangan nelayan di beberapa kampung di persisiran pantai di sini terutama Kampung Pasir Pandak, Kampung Santubong, Kampung Buntal, Kampung Bako dan lain-lain lagi.

Bento ialah alat yang digunakan untuk menangkap ketam, terutama ketam nipah dan ketam laut.

Bento tradisional diperbuat daripada jaring dawai untuk mengikat umpan. Sepasang rotan atau besi kecil dipasang secara bersilang dan di bahagian bawahnya pula diikat batu.

Pelampung berupa botol plastik kosong diikat pada tali sepanjang lima hingga tujuh meter berfungsi sebagai penanda ketika bento dipasang dalam sungai.

Kini bento dihasilkan dengan cara yang agak berbeza, ia berbentuk bulat dan ada yang bersegi empat serta diperbuat daripada jaring yang bermutu tinggi.

Bento ini juga boleh dibawa banyak sekali gus kerana ia mudah dilipat serta tidak mudah koyak.

Bila masa sesuai memasang bento? Masa yang paling sesuai untuk memasang bento ialah ketika air pasang.

Sebelum dicampak ke tempat yang sesuai dalam sungai, umpan hendaklah dipasang terlebih dahulu. Umpan yang biasa digunakan untuk menangkap ketam ialah anak ikan yu, ikan pari atau kepala ayam.

Setelah memasang antara 10 hingga 20 bento, nelayan akan berehat kira-kira setengah jam sambil menunggu ketam memakan umpan. Setelah itu bento pun diangkat dan dimuatkan dalam perahu.

Bergantung kepada keadaan, kadang-kadang sekali angkat bento-bento tersebut boleh memerangkap sehingga 10 ketam.

Suatu ketika dahulu ada beberapa batang sungai yang dikenal pasti menjadi tumpuan nelayan untuk menangkap ketam di sekitar Kuching iaitu Sungai Serait, Sungai Bako, Sungai Buda, Teluk Asam (sekarang Bako National Park), Sungai Selesong, Sungai Nangka, Sungai Buntal, Sungai Loba Kara, Sungai Pinggan, Sungai Nyamuk dan Kuala Pending.

Sekarang, usaha penangkap ketam lebih mudah apabila adanya bento yang mudah dibawa ke mana sahaja dengan menaiki motosikal atau kereta dengan jumlah yang banyak sekali gus.

Sesetengah penangkap ketam tidak perlu ke sungai untuk menangkap ketam, mereka hanya perlu memasang bento yang mudah dibawa itu dalam parit-parit besar di tepi jalan raya utama.

Sekitar tahun 60-an dahulu sekati ketam berharga seringgit dan dalam sehari nelayan mampu mendapat hasil sekitar 10 hingga 20 kati.

Pada masa ini harga ketam gred A mencecah sehingga RM45 sekilogram dengan erti kata lain penangkap ketam boleh meraih sekitar RM225 sehari.

Advertisement