Anda di sini

UMNO Sabah terbuka bincang hadapi PRN bagi perolehi kemenangan

Advertisement


 

BUNG
BUNG

SANDAKAN: Pengerusi UMNO Sabah Dato’ Sri Bung Moktar Radin berkata UMNO Sabah terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti dan Tan Sri Musa Aman bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

"Bagaimanapun, terlebih dahulu UMNO Sabah akan mengadakan mesyuarat pada esok (Ahad) bagi membincangkan perkara ini," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dua hari lepas.

Zahid menyebut sebarang pertimbangan UMNO berhubung PRN Sabah akan dibincang bersama pemimpin di negeri itu kerana UMNO Sabah sudah diberi kuasa autonomi.

"Umno Sabah sudah diberi kuasa autonomi, maka sesuatu pertimbangan akan dibincang dengan pemimpin UMNO negeri dan (bekas Ketua Menteri) Tan Sri Musa Aman sendiri,” kata Zahid.

Dalam pada itu, Bung Moktar menegaskan selepas mesyuarat UMNO Sabah itu dan seterusnya barulah pihaknya membuat perancangan serta mengadakan perbincangan kepada semua pihak.

"Perkara ini kita teliti dahulu, ke mana arah alah tuju UMNO Sabah dan Barisan Nasional (BN) dalam berhadapan pada PRN kali ini," katanya.
 
Bung Moktar berkata, PRN kali ini amat luar biasa dimana bukannya dibubar setiap lima tahun tetapi jangka masa singkat.
 
"Jadi dalam keadaan begini, semua parti termasuk UMNO dan BN perlu menyusun strategi yang lebih baik dan tersusun.

"Kita perlu mencari pendekatan dengan mendekati jiwa rakyat sebab pengundi hari ini bukan lagi boleh diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak dan mereka telah melalui zaman perintahan BN, Parti Bersatu Sabah dan WARISAN,” katanya.

Beliau menjelaskan pihaknya perlu memiliki pendekatan baharu yang boleh menyakinkan rakyat untuk menyokong dan mengundi parti masing-masing.

Ditanya mengenai persiapan UMNO Sabah, Bung Moktar berkata UMNO Sabah telah lama bersiap sedia menghadapi pilih raya.

"Cuma kita tidak pergi 100 peratus, kita tidak menjangka ada PRN dalam masa singkat ini. Kita hanya fokus di peringkat Pilihan Raya Umum yang diadakan serentak dengan negeri.

"Jadi nampak gayanya, apa yang kita rancang, perancangan Allah juga yang tepat," katanya.

Oleh itu, beliau berkata sama ada telah siap sedia atau tidak, pihaknya tiada pilihan untuk berhadapan dengan PRN ini.

"Apa yang perlu yang kita buat adalah untuk mengutamakan apa yang perlu diutamakan seperti perkukuhkan jentera dibawah, mengenal pasti kawasan dan mengumumkan calon-calon yang boleh menang serta diterima rakyat,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement