Anda di sini

Tiga pemimpin sumbang lembu korban kepada masjid dan surau di Parlimen Sandakan

Advertisement
 Vivian turut bersama-sama masyarakat Islam memotong daging lembu sebelum diagihkan.
MEMBANTU: Vivian turut bersama-sama masyarakat Islam memotong daging lembu sebelum diagihkan.

SANDAKAN: Pemimpin di daerah Sandakan menyambut Hari Raya Aidiladha dengan komuniti Islam di sini dengan menghadiri majlis ibadah korban di Kampung Pulau Berhala, kelmarin.

Program berkenaan dianjurkan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah dan dihadiri Menterinya Datuk Frankie Poon, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong dan wakil dari Masjid Daerah Sandakan, Masjid Jamek Bandar, Surau Al-Furqan, Masjid Jamek Nur Islam Pulau Berhala dan Surau Nurul Iman Seri Pantai Pulau Berhala.
 
Sebanyak 11 ekor lembu disumbangkan Frankie dan Vivian kepada lima buah masjid dan surau dalam Parlimen Sandakan.

Ketua Kampung Berhala Darat Sim-Sim, Abdul Lasaid Baraham yang mewakili Masjid Daerah Sandakan menerima lembu berkenaan, merakam penghargaan kepada wakil delegasi menteri dan Vivian untuk derma ikhlas daripada mereka itu.

Pihak masjid berkenaan akan mengagihkan daging lembu yang diterima itu kepada kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Sim-Sim dan kawasan Berhala.

Sebagai tambahan, Vivian bersama penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri Elopura Calvin Chong juga menyampaikan tujuh ekor lembu lagi  untuk kawasan Elopura.

Lembu berkenaan disumbangkan kepada masjid di Taman Harmoni, Taman Mesra, Sri Taman, Taman Indah Jaya, BDC, Kampung Forest dan Kampung Mangkalinau.

Mengenai program itu, Vivian menyatakan walaupun tinggal di negeri berbilang bangsa, kaum dan etnik tetapi tiada masalah perselisihan faham antara kaum.

"Malah kami mengambil kesempatan sambutan perayaan untuk memupuk hubungan silaturahim antara satu sama lain," katanya.

Vivian juga mengimbas semula sambutan perayaan Tahun Baharu Cina di Pulau Berhala kali pertama pada awal tahun ini yang dianjurkan oleh Parlimen Sandakan adalah salah satu contoh kepada masyarakat supaya saling menghormati dan meraihkan perayaan bersama.

Beliau juga mengingatkan kepada semua yang hadir untuk mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) semasa merayakan hari istimewa ini bersama keluarga dan rakan-rakan.

"Cara hidup norma baharu ini kekal di sini. Jadi pastikan anda memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan memastikan tangan anda bersih. Kita akan meraikan musim perayaan ini dalam norma baharu," katanya.



 

Advertisement