Anda di sini

Seramai 54 individu ditahan ingkar SOP di kedai runcit, bistro di Sibu

Advertisement
Anggota yang terlibat semasa melakukan pemeriksaan di sebuah kedai runcit yang ingkar SOP.
Anggota yang terlibat semasa melakukan pemeriksaan di sebuah kedai runcit yang ingkar SOP.

SIBU: Seramai 54 individu ditahan kerana melanggar prosedur pengendalian standard (SOP) dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sebuah kedai runcit dan sebuah bistro di sini, semalam.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 27 orang lelaki serta 27 wanita manakala seorang wanita berusia 32 tahun merupakan pengurus kedua-dua premis terbabit turut dikompaun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Collin Babat berkata, kompaun berjumlah RM1,000 kemudiannya dikeluarkan kepada semua yang ditahan di bawah Peraturan 10 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2020.

 "Mereka yang ditahan dikehendaki menyelesaikan denda dalam tempoh dua minggu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam operasi yang dilakukan sekitar jam 10 malam itu, pasukan penguatkuasaan mendapati mereka yang ditahan berusia antara 16 dan 45 tahun yang berada di kedua-dua kedai tersebut tidak mematuhi SOP termasuk tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

 "Ini merupakan kali kedua dua premis perniagaan terbabit diserbu dan tidak mematuhi SOP PKPP," ujarnya sambil menambah pengurus premis yang sama dan tiga orang pelanggan di bistro terbabit didenda RM1,000 kerana kesalahan sama.

Menurut Collin,  dua lelaki berusia 24 dan 30 tahun yang didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika serbuan telah direman di bawah Seksyen 25 (1) Akta Pendaftaran Negara 1990.
 

Advertisement