Anda di sini

Rangka persiapan terbaik

Advertisement
 Jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe. — Gambar Bernama
SEPENUH TUMPUAN: Jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya akan memberi tumpuan kepada baki tiga perlawanan pusingan kedua Kelayakan Kumpulan G Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober dan November ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata pembatalan Kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki pada tahun ini susulan pandemik COVID-19, memudahkan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk merangka persiapan terbaik bagi menghadapi pusingan kelayakan berkenaan.

Beliau memaklumkan Cheng Hoe dijangka memanggil pemain-pemain terlibat untuk mengikuti sesi latihan pusat pada pertengahan September ini, sebelum berdepan Bahrain pada aksi pemanas badan di tempat lawan pada awal Oktober.

"Selepas aksi pemanas badan menentang Bahrain, skuad kebangsaan akan terbang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk berdepan pasukan tuan rumah dalam pusingan kedua kelayakan pada 8 Oktober di tempat lawan.

"Kita akan kembali ke tanah air untuk aksi persahabatan menentang Kuwait di Stadium Nasional Bukit Jalil pada November nanti, namun saya dimaklumkan pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) masih memantau situasi semasa pandemik COVID-19 sebelum membuat keputusan lanjut berhubung kebenaran mengadakan aksi persahabatan berkenaan," katanya kepada Bernama di sini semalam.

Dalam pada itu, Stuart berkata FAM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memandangkan penangguhan saingan Piala AFF Suzuki bakal memberi kesan kepada kepadatan jadual kalendar bola sepak tempatan pada musim hadapan.

Berdasarkan perancangan asal, AFF bercadang menganjurkan saingan Piala AFF Suzuki dari 23 Nov hingga 31 Dis ini, dan masih mengekalkan format timbal balik yang diperkenalkan pada 2018.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Pasukan Petugas Piala AFF Suzuki yang mengadakan mesyuarat secara dalam talian pada Jumaat, memutuskan untuk menangguhkan kejohanan berkenaan kepada 2021 susulan peningkatan kes COVID-19 di peringkat rantau ASEAN serta global.

Selepas aksi berdepan UAE di Dubai, Malaysia dijadual melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Okt, sebelum menamatkan pusingan awal kelayakan menentang Thailand di Bangkok pada 17 November ini.

Malaysia kini berada pada kedudukan selesa di tangga kedua Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Hanya UAE yang berada di tangga keempat dengan enam mata memiliki kelebihan satu aksi sementara pendahulu, Vietnam unggul dengan 11 mata diikuti Thailand pada kedudukan ketiga (lapan mata) dan Indonesia tercorot tanpa sebarang mata. — Bernama

Advertisement