Anda di sini

MDEC, Huawei meterai MoU teraju Malaysia sebagai hab Digital ASEAN

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menerajui inisiatif bagi memacu kedudukan Malaysia sebagai pusat Digital ASEAN.

Kerjasama ini akan bermula dengan pembangunan kertas putih yang dijalankan oleh kedua-dua pihak bagi mengenal pasti dan membangunkan elemen utama untuk merealisasikan aspirasi Malaysia menjadi hab digital serantau.

“Menerusi kerjasama kami dengan Huawei, kami menyasar mendapatkan pemahaman dan pengetahuan dalam menangani masalah khusus dan cabaran yang dihadapi oleh ekosistem digital di Malaysia.

“Kami merancang untuk menyediakan penyelesaian yang akan memudahkan pembinaan kapasiti bagi merealisasikan potensi penuh ekonomi digital Malaysia menerusi penggunaan digital dan pembangunan tenaga kerja digital,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, objektif MoU tersebut adalah untuk membangunkan ekonomi digital yang mantap, termasuk prasarana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknologi inovatif gunaan (5G), Kecerdasan Buatan (AI), Data Raya, Internet Pelbagai Benda (IoT), tenaga kerja teknologi digital dan kesalinghubungan digital.

Kerjasama ini juga, katanya, akan menyaksikan perkongsian amalan terbaik dan perkongsian pengetahuan antara kedua-dua pihak, dengan Huawei akan menyediakan strategi dan sokongan teknikal dan nasihat perniagaan.

MDEC dan Huawei akan terus menjalankan penyelidikan dan perkhidmatan berkaitan dengan teknologi digital dengan menjalin kerjasama bersama pelbagai badan kerajaan untuk menerbitkan kajian kertas putih bagi manfaat menambah baik ekonomi digital Malaysia.

Menurut Huawei, bagi pertumbuhan mampan dalam seluruh industri, pembangunan tenaga kerja merupakan satu daripada bahagian utama yang akan diberi tumpuan yang termasuk rangka kerja hab digital untuk memberi penekanan kepada kepentingan memupuk tenaga kerja mahir digital dan merangsang gelombang baharu tenaga kerja digital pada masa depan.

“Huawei berbesar hati menjadi sebahagian daripada usaha pembinaan negara Malaysia dan bekerjasama dengan MDEC bagi pelbagai program. Kami telah berada di sini selama 19 tahun dan kami akan terus menumpu untuk membangunkan dan memupuk lebih ramai tenaga kerja digital bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi mampan dalam keseluruhan industri terutamanya menerusi Akademi Huawei ASEAN kami,” kata Ketua Pegawai Ekskekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan dalam kenyataan tersebut. — Bernama

Advertisement