Anda di sini

Kumpulan pelabur batalkan bidaan untuk membeli Newcastle United

Advertisement
 Pemain Newcastle United memanaskan badan sebelum beraksi di St James Park di Newcastle, bulan lalu. — Gambar AFP
PASRAH: Pemain Newcastle United memanaskan badan sebelum beraksi di St James Park di Newcastle, bulan lalu. — Gambar AFP

LONDON: Sebuah konsortium yang disokong oleh Arab Saudi kelmarin mengumumkan ia sudah menamatkan bidaan untuk membeli Newcastle United selepas berbulan-bulan menunggu kelulusan dari Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kumpulan pelaburan itu, yang merangkumi Saudi Public Investment Fund (PIF), PCP Capital Partners dan adik beradik bilionair, David dan Simon Reuben, dilaporkan telah memeterai perjanjian bernilai £300 juta (RM1.8 bilion) untuk membeli kelab itu daripada pemilik yang tidak popular Mike Ashley pada April lalu.

PIF, yang dipengerusikan oleh Putera Mohammad bin Salman, dijangka menerima pegangan 80 peratus di bawah perjanjian yang dicadangkan, yang dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia.

“Dengan penghargaan yang mendalam bagi komuniti Newcastle dan kepentingan kelab bola sepaknya, kami telah membuat keputusan untuk menarik balik minat kami bagi mendapatkan Kelab Bola Sepak Newcastle United,” kumpulan itu menyebut dalam satu kenyataan.

“Malangnya, proses yang berpanjang di bawah keadaan semasa digabung dengan keadaan dunia yang tidak menentu telah menyebabkan potensi pelaburan itu tidak lagi dapat dilaksanakan dari segi komersil.”

Newcastle menduduki tempat ke-13 dalam musim EPL yang baharu sahaja selesai untuk mendapatkan hak televisyen yang lumayan selama setahun lagi.

Bagaimanapun, keadaan begitu tidak menentu disebabkan oleh kesan kewangan daripada pandemik COVID-19, tanpa tarikh ditetapkan bagi penyokong untuk kembali ke stadium.

Cubaan pengambilalihan itu telah dikecam oleh Amnesty International dan Hatice Cengiz, tunang wartawan yang dibunuh, Jamal Khashoggi, berhubung rekod hak asasi manusia Arab Saudi, seterusnya memberi tekanan kepada EPL untuk tidak memberikan kelulusan kepadanya dalam ujian pemilik dan pengarahnya.

Penciplakan hak siaran sukan, termasuk EPL, di Arab Saudi turut menjadi penghalang kepada pengambilalihan itu.

Kegagalan pengambilalihan itu pasti satu tamparan yang hebat bagi ramai penyokong Newcastle, yang telah menaruh impian agar kekayaan sebuah projek yang disokong oleh Arab Saudi dapat meniru kejayaan Manchester City yang telah memenangi empat kejuaraan EPL sejak Sheikh Mansour dari Abu Dhabi membeli kelab itu pada 2008.

Newcastle tidak pernah memenangi piala domestik yang penting sejak 1955, tetapi masih dapat bergantung kepada 50,000 penyokong yang kerap memenuhi stadium sebelum COVID-19 memaksa stadium ditutup.

EPL belum lagi membuat kenyataan. — AFP

Advertisement