Anda di sini

Immobile nama baharu yang semakin dikenali ramai

Advertisement
IMMOBILE
IMMOBILE

MILAN: Pemain Lazio, Ciro Immobile, bakal menyertai kelab eksklusif sebagai penjaring terbanyak di Eropah pada musim ini.

Dalam dekad yang didominasi oleh Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, pemain Itali yang ditaraf rendah itu hampir pasti akan memenangi Kasut Emas Eropah sebagai penjaring terbanyak di benua itu.

Daripada Messi, hingga kepada Ronaldo, Mohamed Salah, Robert Lewandowski dan Erling Braut Haaland, tidak ada orang di Eropah yang dapat menandingi pemain kelahiran Naples itu.

Immobile memintas Lewandowski, penyerang Bayern Munich, dengan jaringannya yang ke-35 ketika menentang Brescia pada pertengahan minggu ini, dan akan menamatkan kempennya dalam perlawanan menentang Napoli pada malam ini (Sabtu).

Ronaldo, bintang Juventus dengan 31 gol, ketinggalan empat gol di belakang sebelum perlawanan terakhir juara Serie A itu menentang Roma di Turin, di mana dia mungkin tidak akan bermain menjelang Liga Juara-Juara.

Ini bukan kali pertama Immobile, 30 tahun, menduduki tempat teratas dalam carta penjaring terbanyak Serie A, selepas dia memenangi 'Capocannoniere' dua kali pada 2014 dan 2018.

Tetapi dia akan menjadi pemenang ketiga Kasut Emas Eropah ketiga dari Itali selepas Francesco Totti (26) dari Roma pada 2007 dan Luca Toni untuk Fiorentina pada 2006 (31).

Dua jaringan lagi pada malam ini juga akan menyaksikannya memecah rekod 36 gol oleh Gonzalo Higuain dalam Serie A, yang dicipta untuk Napoli pada musim 2015-16.

“Saya cuma menyesal kerana saya tidak meraikan jumlah ini bersama penyokong,” kata Immobile, yang digelar 'King Ciro' di ibu negara, selepas karier yang tidak menentu sebelum dia tiba di Rom.

Kejayaan tidak mengikuitnya ke dalam pasukan kebangsaan, di mana dia menjaringkan 10 gol dalam 39 perlawanan, seterusnya menjadi sasaran kritikan selepas Itali gagal untuk layak ke Piala Dunia 2018.

Immobile memulakan kariernya di Juventus, di mana dia membuat hanya tiga penampilan sahaja sebelum dia menikmati kejayaan sebagai pemain pinjaman pada musim 2011-2012 di Pescara di mana 28 jaringannya melonjakkan kelab Serie B itu ke dalam liga utama.

Dia tidak dapat mengulangi prestasinya pada musim berikutnya bersama Genoa, tetapi lebih berjaya bersama Torino di mana dia menjaringkan 22 gol dalam 33 penampilan untuk memenangi anugerah penjaring terbanyak Serie A yang pertamanya.

Perpindahan bernilai 18 juta euro (RM90 juta) ke Bundesliga menyusul tetapi dia menjaringkan hanya tiga gol sahaja dalam 24 penampilan untuk Borussia Dortmund, diikuti pembabitan selama enam bulan yang tidak berjaya di Sevilla.

Tetapi menjaringkan gol adalah sesuatu yang dia buat dengan begitu kerap sekali sejak dia menyertai Lazio pada musim panas 2016, pada waktu yang sama dengan jurulatih Simone Inzaghi.

Dia telah berkembang dalam sistem Inzaghi di samping Luis Alberto dan Joaquin Correa, selain dua pemain tengah Sergej Milinkovic-Savic dan Marco Parolo, dan menjaringkan 102 gol dalam 141 penampilan dalam Serie A.

Lazio boleh mengucapkan terima kasih kepada Immobile bagi hampir separuh daripada 78 gol liga mereka, selain menyempurnakan 14 tendangan penalti.

Dia menjaringkan enam gol dalam empat perlawanan terakhir apabila Lazio, yang sudah dijamin akan kembali ke Liga Juara-Juara selepas 13 musim, menyasari tempat kedua dalam liga. — AFP

Advertisement