Anda di sini

Fokus masalah COVID-19, Abang Jo tidak ambil tahu soal MN

Advertisement
Abang Johari - Gambar Roystein Emmor
Abang Johari - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini berkata tidak mengambil tahu mengenai gabungan Muafakat Nasional (MN).

Tegasnya, dalam kotak fikirannya sekarangnya hanyalah mengenai COVID-19 yang masih serius terutama di Kuching yang mana perlu diberi perhatian. 

“Fikiran saya mengenai COVID-19. Kita perlu melihat perkara ini, ia serius dan Kuching sudah Zon Merah,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan UMNO keluar dari Perikatan Nasional (PN) dan menyertai MN bersama PAS pada sidang media di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, hari ini. 

Terdahulu Abang Johari hadir merasmikan Sambutan Ulangtahun Ke-32 Bandaraya Kuching di Dataran MBKS di sini. 

Ditanya sama ada terdapat perbincangan antara MN dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata GPS adalah GPS. 

“Kita ada kerajaan PN Plus GPS. Jadi kita GPS lah,” ujarnya ringkas kepada pemberita. 

Dalam pada itu Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan di laman Facebooknya berkata Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Perdana Menteri akan menyertai MN. 

Bagaimanapun kata Abang Johari tiada kepastian bahawa BERSATU akan menyertai MN. 

Mengenai kemelut politik di Sabah yang dikatakan berpunca daripada budaya lompat parti,  Abang Johari berkata itu adalah hal Sabah. 

Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini yang disifatkan oleh beliau sebagai soalan berbentuk andaian.

  • oleh
  • Advertisement