Anda di sini

Final Piala Perancis penampilan terakhir Perrin

Advertisement
 Perrin menerima pingat selepas tamat aksi final Piala Perancis di antara PSG dan St Etienne di Stade de France, 24 Julai lalu. — Gambar AFP
GANTUNG BUT: Perrin menerima pingat selepas tamat aksi final Piala Perancis di antara PSG dan St Etienne di Stade de France, 24 Julai lalu. — Gambar AFP

SAINT-ÉTIENNE: Loic Perrin, yang bermain sepanjang kariernya bersama kelab bandar asalnya Saint-Etienne, mengumumkan kelmarin bahawa dia akan bersara.

Penampilan terakhir pemain berusia 34 tahun itu adalah dalam perlawanan akhir Piala Perancis pada Jumaat lepas ketika dia dibuang dari padang kerana mengasari Kylian Mbappe dari Paris Saint-Germain apabila Saint-Etienne tewas 1-0.

“Jika pun saya mengharapkan penamat lain, saya gembira dan bangga dengan karier saya selama 17 musim ini sebagai seorang pemain bola sepak profesional, dengan kejayaan dan kegagalan tetapi sentiasa memberikan diri saya yang maksimum,” Perrin menulis dalam Instagram kelmarin.

Pemain pertahanan itu menyertai Saint-Etienne pada usia 12 tahun dan seterusnya bermain dalam 470 perlawanan untuk kelab dan menjadi kapten kelab selama lebih sedekad.

Dia dipanggil untuk menyertai skuad Perancis beberapa kali tetapi tidak pernah bermain.

“Saya dengan penuh emosi mengumumkan bahawa saya sudah bermain dalam perlawanan terakhir saya bersama kelab saya pada Jumaat lepas dalam perlawanan akhir Piala Perancis,” katanya.

Kelab itu berkata pada awal minggu ini bahawa Perrin akan “memikul tanggungjawab” pada masa depan.

Kelab itu memberi penghormatan dalam laman sesawangnya kepada “kapten yang wajar dicontohi” ini, yang “akan meninggalkan tanda seorang manusia yang berintegriti dan seorang pemain bola sepak yang berbakat”. — AFP

Advertisement