Anda di sini

COVID-19: Dimasukkan ke hospital, langkah berjaga-jaga

Advertisement
 

KUCHING: Mengapa individu yang dirujuk dan dimasukkan ke hospital serta dikaitkan dengan kes positif COVID-19 tetapi tidak diambil kira sebagai kes dalam laporan harian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS)?

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Chin Zin Hing (gambar) yang menjawab persoalan ini berkata ia antara langkah berjaga-jaga pihaknya untuk melakukan siasatan lanjut ke atas mana-mana kes yang masih disyaki dan bagi tujuan ujian saringan ulangan dapat dijalankan. 

"Tujuan saringan semula dibuat adalah untuk memastikan mereka ini benar-benar bebas dari jangkitan COVID-19. 

"Tujuan mereka dirujuk dan dimasukkan ke dalam wad hospital adalah untuk memastikan mereka tidak akan merebakkan jangkitan kepada orang lain, terutama kepada ahli keluarga mereka sendiri yang tinggal serumah sekiranya mereka disahkan positif COVID-19," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Selain orang-ramai, persoalan itu baru-baru ini dicatat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong menerusi Facebook yang merujuk kepada kes anak saudara kawannya.

Dr Chin menjelaskan lagi, semasa berada di wad hospital, golongan terbabit ini juga diasing dan tidak ditempatkan bersama dengan kes-kes sah dijangkiti COVID-19 bagi mengelakkan jangkitan di hospital.

Mengenai jumlah kes harian yang tinggi pada 28 Julai disebabkan pada 26 dan 27 Julai, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak melakukan aktiviti saringan secara aktif melibatkan kluster aktif di Daerah Kuching. 

Hasilnya, banyak di kalangan mereka yang dikenal pasti diambil swab untuk ujian dan terdapat sebilangan daripada mereka positif COVID-19.

Dua puluh lima kes COVID-19 dilaporkan pada 28 Julai, manakala tiada kes pada 29 Julai.

"JKN Sarawak ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dalam memerangi penularan pandemik COVID-19 ini. 

"JKN Sarawak juga ingin menasihatkan orang ramai agar tidak leka, malah, terus kekal berwaspada untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. 

"Pastikan saranan dan nasihat kesihatan serta SOP diamalkan pada setiap masa," katanya.

  • oleh
  • Advertisement