Anda di sini

Zidane ‘ramuan’ yang Real Madrid perlukan

Advertisement
 Gambar fail menunjukkan pasukan Real Madrid memanaskan badan sebelum aksi La Liga pada 18 Jun lalu. — Gambar AFP
MANTAP: Gambar fail menunjukkan pasukan Real Madrid memanaskan badan sebelum aksi La Liga pada 18 Jun lalu. — Gambar AFP

MADRID, Sepanyol: Real Madrid sudah ‘menamatkan monopoli Barcelona’ dalam La Liga Sepanyol, menurut pandangan bekas jurulatih Real, Fabio Capello, dengan jurulatih semasa, Zinedine Zidane, dianggap orang ‘terbaik yang memahami kehendak kelab’.

Real mengharungi tempoh hebat sejak musim bola sepak di Sepanyol disambung semula ekoran pandemik COVID-19, yang menangguhkan bola sepak sejak pertengahan bulan Mac.

Ketika bola sepak tertangguh, Real berada di belakang Barcelona dan dengan persoalan sekali lagi dibangkitkan tentang kemampuan mereka mengekalkan konsistensi.

Mereka bagaimanapun memenangi 10 perlawanan berturut-turut sejak musim disambung semula pada pertengahan bulan Jun dan hanya sekali seri, 2-2 dengan Leganes pada hari terakhir yang mencemar sedikit rekod ketika menamatkan musim selaku juara liga dengan berkelebihan lima mata berbanding Barcelona.

Zidane kembali ke kelab pada 2019 dengan niat untuk menambah kejuaraan kelab – selepas memenangi kejuaraan La Liga dan tiga kali kejuaraan Liga Juara-Juara.

Beliau telah menunjukkan sekali lagi bahawa beliau memiliki formula kemenangan, dengan Barca dihalang dari memenangi kejuaraan ketiga dalam beberapa musim dan yang kelima dari enam tahun terakhir.

“Mereka memenanginya berdasarkan merit,” kata Capello ketika bercakap tentang kejayaan Real.

“Real Madrid sudah menamatkan monopoli Barca.”

Beliau menambah, dengan Barca hilang fokus pada baki musim, “Real Madrid mengambil sepenuh peluang dari keciciran mata Barca tetapi sejujurnya di sini, Real Madrid menang kerana kemampuan mereka sendiri, bukan kerana kesilapan lawan.”

Capello menyedari apa yang diperlukan untuk memberikan kejayaan di Santiago Bernabeu.

Beliau pernah melakukannya pada setiap satu musim beliau bersama kelab sebelum ini dan percaya Zidane – yang menjadi pemain kegemaran penyokong ketika sebagai pemain di kelab – adalah jurulatih sempurna untuk mengisi salah satu jawatan paling sukar di dunia.

Capello berkata: “Hebat dan tahniah. Beliau melakukannya dengan sangat baik. Ia sangat sukar untuk memenangi kejuaraan musim ini dan beliau melaksanakannya. Dengan 10 kemenangan dan sekali seri, ia mengagumkan. Beliau memahaminya lebih baik berbanding orang lain tentang apa yang diperlukan oleh kelab.

“Beliau seorang yang berhati-hati, dengan personaliti dan keyakinan. Beliau adalah jurulatih yang mempunyai pemahaman terbaik tentang keperluan menggilirkan pemain dan melakukan perubahan di kelab.” — AFP

Advertisement