Anda di sini

PH Sabah beri sokongan penuh kepada Shafie dalam PRN

Advertisement
 Christina (tiga kanan), Frankie (dua kanan), Lahirul (empat kanan) bersama para pemimpin PH Sabah merakamkan gambar kenangan.
BERMESYUARAT: Christina (tiga kanan), Frankie (dua kanan), Lahirul (empat kanan) bersama para pemimpin PH Sabah merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk mengetuai Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew berkata, PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan AMANAH bersama UPKO akan terus memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi.

"Pengkhianatan politik yang berlaku sangat menganggu kehidupan rakyat Sabah. Ketika dalam berhadapan dengan COVID-19 yang memberikan kesan buruk kepada ekonomi, kita berhadapan lagi PRN disebabkan 'Katak-Katak' yang mengkhianati kita.

"Kami menyeru kepada rakyat Sabah untuk menolak sepenuhnya budaya 'Katak-Katak' ini pada PRN akan datang. Mereka harus diberikan pengajaran sewajarnya kerana mengkhiati undi yang diberikan rakyat," katanya dalam satu mesyuarat PH Sabah di sini, kelmarin.

Beliau juga menjelaskan Naib Presiden PKR Sabah Kenny Chua dipecat serta merta daripada parti itu.

"Sebagai wakil rakyat, dalam kerajaan pimpinan WARISAN, beliau telah mengkhianati mandat yang diberikan pengundi di Inanam dan Sabah keseluruhannya. Saya yakin rakyat tahu apa perlu dilakukan sekiranya dia (Kenny) dicalonkan semula," katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon berkata, sudah tiba masanya untuk menghentikan budaya 'Katak' dalam kalangan ahli politik di Sabah secara tuntas.

"Cukuplah, mandat rakyat tidak seharus dikhianati, kita sebagai wakil rakyat tidak mampu berbuat apa-apa sekiranya tanpa sokongan rakyat.

"Saya kecewa terdapat ahli politik yang hanya mementingkan diri sendiri dan bukannya rakyat," katanya.

Pengerusi AMANAH Sabah Lahirul Latigu berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah adalah penyelesaian terbaik kemelut politik yang melanda Sabah yang disebabkan niat jahat wakil-wakil daripada Perikatan Nasional (PN).

"Kita akan berdiri teguh bersama Shafie untuk mendapatkan mandat rakyat sekali lagi, kami akan bekerjasama dengan rakan-rakan dalam parti untuk memastikan kemenangan mutlak sekali lagi," katanya.

Dalam pada itu, Frankie turut menjelaskan keahlian ADUN Dilantik Ronnie Loh turut ditamatkan serta merta akibat pengkhianatan yang dilakukan.

Katanya, pemecatan itu berkuatkuasa serta merta termasuk semua jawatan disandang dalam DAP Sabah.