Anda di sini

Pencarian ikon wanita moden masa kini menerusi ‘Ratu Hijabista’

Advertisement
 

SEJAK mula diperkenalkan pada tahun 2012, Majalah Hijabista terbukti berjaya memberi impak sekaligus mewarnai industri penerbitan dan digital tanah air.

Sehingga kini, jenama Hijabista juga sering menjadi rujukan golongan wanita berhijab khusus dalam memberi inspirasi, tip kecantikan, fesyen dan juga kerohanian.  

Justeru, buat julung kalinya pihak Astro menerusi kerjasama strategik di antara saluran Astro Prima dan pihak Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. bakal menganjurkan pertandingan realiti ‘Ratu Hijabista’ bagi mencari ikon wanita berhijab yang berinspirasi dan boleh menjadi contoh kepada segenap lapisan masyarakat.  

Bakal bersiaran selama lapan minggu, para peserta harus memperlihatkan pesona ratu ideal melalui siri cabaran yang bakal menguji kekuatan fizikal dan mental serta keazaman mereka untuk menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat sekaligus berentap untuk merebut gelaran juara.

Pengurus Saluran Astro Prima Norzeha Mohd Salleh berkata menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan kelmarin selaku penganjur bersama, Astro menyambut baik inisiatif penganjuran program ‘Ratu Hijabista’ yang mengiktiraf potensi bakat luar biasa dan sumbangan kaum wanita agar dapat memberi inspirasi kepada wanita di luar sana khususnya golongan yang berhijab.

“Bukan itu sahaja, platform pencarian seumpama ini juga berupaya mewujudkan persekitaran positif sekaligus meningkatkan keyakinan setiap wanita yang pastinya ada memasang impian untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya.  

Dalam dunia serba moden masa kini, kehadiran dan sumbangan besar kaum wanita cukup menyerlah dalam pelbagai bidang terutamanya yang banyak dimonopoli oleh kaum lelaki.

Ia membuktikan kaum wanita juga mampu melangkah jauh untuk sama-sama menyemarakkan industri ke arah dan ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang.

“Semoga penganjuran ‘Ratu Hijabista’ dapat mengukuhkan lagi pengaruh jenama Hijabista sebagai sebuah platform pencarian bakat komersial sekaligus mampu meneruskan legasi kecemerlangan jenama kandungan harta intelek yang lain seperti Dewi Remaja dan Hero Remaja,” tambahnya lagi.

 Pelakon dan pengacara yang semakin meningkat naik, Uyaina Arshad akan digandingkan buat pertama kali dengan Fikry Ibrahim untuk mengemudikan pencarian kali ini sebagai hos program.   — Gambar Astro
HOS: Pelakon dan pengacara yang semakin meningkat naik, Uyaina Arshad akan digandingkan buat pertama kali dengan Fikry Ibrahim untuk mengemudikan pencarian kali ini sebagai hos program. — Gambar Astro

Sementara itu, Editor Pengurusan Hijabista Fiezreen Ahmad berkata dalam kenyataan media yang sama sudah tiba masanya Hijabista melangkah ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Daripada hanya sebuah majalah dan seterusnya berkembang pesat di dunia digital dengan jutaan pelayar setiap bulan. Kini Ratu Hijabista yang bakal bersiaran di saluran Astro Prima merupakan pertaruhan terbaru jenama ini,” katanya.  

“Hijab bukan sebuah lambang kelemahan sebaliknya sebagai lambang manifestasi diri yang cemerlang, sama seperti kesemua finalis yang terpilih.

“Setiap seorang dari mereka memiliki latar pendidikan yang baik dan persona diri yang menarik serta meyakinkan,” jelas beliau lagi.

 Rangkaian program ‘Ratu Hijabista’ akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Kapsul pengenalan 12 peserta boleh ditonton melalui liputan harian ‘Profil Ratu Hijabista’ pada setiap hari, jam 11.55 pagi dan 6.55 petang bermula 23 Julai hingga 9 Ogos.

Klip sedutan aktiviti perkembangan para peserta sepanjang musim ini pula dapat ditonton melalui liputan harian ‘Jurnal Ratu Hijabista’ pada setiap hari Isnin hingga Rabu, jam 6.55 petang bermula 10 Ogos.

Manakala rakaman program pencarian ‘Ratu Hijabista’ pula akan bersiaran selama lapan episod pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam mulai 12 Ogos.  

Di samping itu, perjalanan terkini para peserta juga akan mendapat liputan menyeluruh termasuklah paparan aktiviti di sebalik tabir menerusi laman sosial Majalah Hijabista.

Juara ‘Ratu Hijabista’ akan membawa pulang wang tunai RM10,000, tiara, trofi dan selempang.

Peserta yang mendapat kedudukan di tangga kedua pula bakal membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta trofi dan selempang.

Manakala pemenang ‘Hijabista Favourite 2020’ pula akan dipilih berdasarkan undian peminat tertinggi di laman sesawang rasmi www.hijabista.com.my   

Advertisement