Anda di sini

Kedai cuci kereta di Pakistan bertukar jadi tempat cuci haiwan korban

Advertisement
 Gambar dirakam pada 27 Julai menunjukkan Sheikh Sagheer menyembur buih sabun pada seekor               lembu sebelum mencucinya di kedai cuci keretanya menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha di Karachi. — Gambar AFP
UTAMAKAN KEBERSIHAN: Gambar dirakam pada 27 Julai menunjukkan Sheikh Sagheer menyembur buih sabun pada seekor lembu sebelum mencucinya di kedai cuci keretanya menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha di Karachi. — Gambar AFP

KARACHI: Menjelang Hari Raya Aidiladha, pemilik kedai cuci kereta di Karachi, Sheikh Sagheer, menyaksikan kebanyakan trafik di premis perniagaannya bertukar daripada empat roda kepada empat kaki.

Penduduk membawa lembu, biri-biri dan kambing mereka kepadanya untuk dibersih dengan teliti sebelum ia dikorbankan untuk perayaan selama tiga hari, bermula hari ini (Jumaat) di Pakistan.

Sagheer, 42, berkata kerja mencuci lembu bermula ketika dia dilihat mencuci haiwan korbannya menjelang Aidiladha selepas dia membuka perniagaannya beberapa tahun lalu.

“Orang yang melihat saya mencuci haiwan itu datang kepada saya dengan haiwan mereka sendiri. Begitulah trend ini bermula,” kata Sagheer kepada AFP.

Kebanyakan haiwan datang dari sebuah pasar besar di pinggir Karachi – yang dikatakan bazar lembu Aidil-adha terbesar di Asia – yang penuh dengan kambing, lembu, lembu jantan kembiri, biri-biri dan unta.

Makhluk itu biasanya kotor, berdebu dan dibaluti najis selepas diangkut dan dipadatkan bersama di pasar berkenaan.

Sagheer mengenakan caj hanya 100 rupee (RM3) sahaja untuk mencuci haiwan tersebut – termasuk diberi mandi dengan hos tekanan, dibasuh dengan sabun, digosok dan dibilas.

“Bayaran adalah 100 rupee, jumlah yang amat kecil sekali,” kata Mohammad Uzair, yang membawa seekor lembu kelabu yang besar untuk dibasuh.

Di Pakistan, antara lapan juta hingga 10 juta ekor haiwan dikorbankan pada Hari Raya Aidil Adha, menurut Persatuan Penyamak Kulit Binatang Pakistan.

Sagheer berkata kebersihan terutamanya penting disebabkan oleh pandemik koronavirus.

“Saya memastikan haiwan itu disanitasi dengan disinfektan,” katanya. — AFP