Anda di sini

F1: Hamilton ingin mencapai kemenangan ke-7 di tanah air

Advertisement
HAMILTON
HAMILTON

SILVERSTONE, England: Selepas menguasai dua perlumbaan terakhir, Lewis Hamilton akan memburu kemenangan hatrik pada awal musim dan cuba memperbaharui rekod kemenangan pada perlumbaan di tanahairnya kepada tujuh kemenangan tetapi tanpa penonton untuk perlumbaan Grand Prix British hujung minggu ini.

Juara dunia enam kali itu dan pendahulu keseluruhan kategori pemandu ketika ini, menarik perhatian penonton yang ramai di Silverstone sebelum ini tetapi perlumbaan tahun ini akan berlangsung tanpa penonton ekoran pandemik COVID-19.

“Grand Prix British adalah yang terbaik dan terutama sekali kerana penontonnya – ribuan penonton sentiasa hadir untuk mewujudkan suasana hebat,” kata Hamilton.

“Jadi, ia pastinya pelik tanpa penonton kali ini.”

Bagi Hamilton, ia bermakna tiada cara meraikan kemenangan dengan sorakan penonton dan mengelak dari terlalu yakin selepas meraih kemenangan pada perlumbaan  Grand Prix Hungary dan Grand Prix Styrian sebelum ini.

Perlumbaan Ahad ini adalah perlumbaan kali ke-71 Grand Prix British dan kali ke-54 di Silverstone, dengan perlumbaan kedua seminggu kemudian di litar yang sama akan meraikan ulang tahun ke-70 perlumbaan kejohanan dunia sulung pada 1950.

Selepas dua kemenangan pertama, dan dengan rekod hebat beliau di Silverstone, Hamilton akan menjadi pilihan juara tetapi beliau menjangkakan saingan kuat dari rakan sepasukannya di Mercedes, Valtteri Bottas, yang memenangi perlumbaan pertama musim ini di Austria.

Kedua-dua pemandu Mercedes sudah membuktikan kehebatan kereta W11, dianggap “kerana paling terpantas dalam F1” oleh pengurus Mercedes, Toto Wolff pada minggu ini.

Beliau berkata: “Kami akan merindui penonton di Silverstone – tetapi kami tahu mereka akan menyokong kami dari rumah, jadi kami berazam untuk menunjukkan penghargaan kami dengan mempamerkan aksi terbaik.”

Hamilton ketika ini mendahului Bottas dengan lima mata, diekori Max Verstappen dari pasukan Red Bull, kurang 30 mata tetapi berharap untuk merapatkan jurang hujung minggu ini.

Pangkalan pasukan Racing Point hanya beberapa ratus meter dari pintu masuk ke Litar Silverstone, dan selepas mempamerkan kepantasan dan potensi di Austria dan Hungary, mereka berharap untuk mencabar Red  Bull untuk podium sebelum Renault membuat bantahan tentang kesahihan kereta yang menggunakan enjin Mercedes itu.

Ferrari, satu-satu pasukan yang mampu menyaingi Mercedes di Silverstone dalam beberapa  tahun yang lalu, dengan Sebastian Vettel muncul pemenang pada 2018, dijangka akan terus bergelut mencari rentak selepas permulaan hambar musim ini, terutama sekali selepas Vettel dan rakan sepasukannya, Charles Leclerc berlanggar sesama sendiri menyebabkan kedua-duanya gagal menamatkan perlumbaan sebelum ini. — AFP

Advertisement