Anda di sini

Kes SRC: Najib kemuka rayuan

Advertisement
 
 

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman ke atas beliau bagi tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan notis rayuan menerusi Tetuan Shafee and Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah petang ini.

Peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Saya boleh sahkan ia difailkan hari ini,” kata beliau dalam satu pesanan teks. 

Najib kini bebas dengan jaminan RM2 juta berserta dua penjamin.

Pada Selasa, Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas beliau didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan penyalahgunaan kedudukan membabitkan RM42 juta dana SRC.

Beliau dihukum penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan CBT dan pengubahan wang haram serta 12 tahun dan RM210 juta atau penjara lima tahun dalam kes penyalahgunaan kuasa.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan agar kesemua hukuman penjara berjalan serentak. - Bernama 

Advertisement