Anda di sini

Judi dalam talian: Dua wanita Indonesia dipenjara, didenda RM30,000

Advertisement
 

KUCHING: Dua wanita warga Indonesia masing-masing didenda RM30,000 dan dipenjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana menjalankan kegiatan judi dalam talian pada 22 Julai lalu. 

Majistret Zaiton Anuar juga mengarahkan Ester Junirti, 21 dan Julia Thova, 20, untuk dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dilaporkan tidak membayar denda yang dikenakan terhadap mereka.

Mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, dibacakan jurubahasa mahkamah. 

Mengikut pertuduhan, mereka masing-masing didakwa menjalankan kegiatan perjudian dalam talian pada 22 Julai lalu, jam 9.45 pagi di sebuah kondominium di Jalan Sherip Masahor, sini. 

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh sedang menghadap komputer masing-masing dan menjalankan aktiviti judi dalam talian sebelum mereka ditangkap oleh pihak polis. 

Beberapa set komputer dan peralatan lain yang disyaki digunakan untuk aktiviti tersebut turut dirampas dan dijadikan sebagai bahan kes. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.
 

Advertisement