Anda di sini

COVID-19: Tiada kes baharu direkod di Sarawak

Advertisement
Infografik JPBNS
Infografik JPBNS

KUCHING: Tiada kes positif COVID-19 baharu direkodkan di Sarawak hari ini, yang menjadikan keseluruhan kes positif di negeri kekal sebanyak 677 kes, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurut pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu, sehingga kini terdapat 10 kluster masih aktif di negeri ini.

Antaranya Kluster Syarikat Kejuruteraaan kekal lapan kes, Kluster Mambong (tujuh kes), Kluster Pusat Perubatan (tiga kes), Kluster Jupiter (tiga kes), Kluster Pasar Stutong (tujuh kes), Kluster Jeti Kuching (dua kes), Kluster Sentosa (31 kes), Kluster PUI Melbourne (tiga kes), Kluster Syarikat Pembinaan Kuching (dua kes) dan Kluster Pasar Satok (empat kes).

"Dimaklumkan juga enam kes baru yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Umum Sarawak hari ini dan empat adalah dari daerah Kuching sementara dua dari daerah Samarahan.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes postif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini adalah seramai 571 orang atau 84.34 peratus," katanya pada sidang media khas perkembangan COVID-19 di Sarawak, di sini hari ini.

Tambah Uggah, seramai 87 orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital, dan jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.81 peratus.

Selain itu, hari ini juga sebanyak sembilan kes orang yang disyaki (PUI) baru dilaporkan dan dua kes masih menunggu ujian makmal. 

"Bagi sampel yang diambil semasa penjejakan kotak dan pengawasan (surveillance), sebanyak 1,182 masih menunggu ujian makmal," katanya.

Beliau berkata pada hari ini, seramai 36 orang di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 11 buah hotel adalah seramai 683 orang. 

Katanya, manakala seramai 19,255 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin.