Anda di sini

Sekolah kawasan selamat bebas COVID-19 - Dr Noor Hisham 

Advertisement
 
Dr Noor Hisham berucap pada Majlis Sesi Libat Urus Media bersama Ketua Pengarah Kesihatan "Kesiapsiagaan KKM Dalam Menangani Pandemik COVID-19" di Kementerian Kesihatan hari ini. - Gambar Bernama 
Dr Noor Hisham berucap pada Majlis Sesi Libat Urus Media bersama Ketua Pengarah Kesihatan "Kesiapsiagaan KKM Dalam Menangani Pandemik COVID-19" di Kementerian Kesihatan hari ini. - Gambar Bernama 

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengisytiharkan sekolah sebagai kawasan yang selamat dan bebas COVID-19.

Ketika menyatakan perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM tidak mengesan kes positif COVID-19 di kawasan sekolah sejak sesi persekolahan bersambung semula.

“Isunya sekarang di luar sekolah. Sekolah satu risiko juga, tapi kita boleh urus risiko tersebut.

"Kalau ada kes (positif) yang dikesan, kita akan ambil tindakan untuk menutup sekolah," katanya dalam Sesi Libat Urus Bersama Media, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengeluarkan garis panduan prosedur pengendalian standard (SOP) untuk mengelakkan kesesakan di luar sekolah, terutamanya selepas sesi pembelajaran tamat.

"Selepas sekolah ramai berkumpul untuk balik. Mungkin kita lihat untuk melepaskan pelajar balik secara berperingkat, bukan  dalam satu masa semua keluar.

"Jadi boleh kurangkan kesesakan masa balik sekolah. Inilah tindakan kita kepatuhan pada SOP dan ia akan ditambah baik sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata KKM juga sedang bekerjasama dengan KPM untuk memasukkan aspek kesihatan awam sebagai silibus pendidikan.

"Kita telah ambil tindakan untuk masukkan silibus kesihatan awam," katanya.

Sementara itu, ditanya berkenaan vaksin COVID-19, Dr Noor Hisham berkata vaksin tersebut masih dalam peringkat kajian fasa ketiga dan Malaysia tidak dipilih untuk menjalankan kajian tersebut.

"Kebimbangan kita adalah vaksin ni berkesan atau tidak dan sama ada vaksin ada kesan sampingan atau tidak.

"Jadi kita kena lihat pada data-data kajian sebelum mengesyorkan penggunaan vaksin tersebut ," katanya. - Bernama 

Advertisement