Anda di sini

Pendekatan lebih bersasar untuk bantu peminjam menjelang tamatnya moratorium - BNM

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Peminjam yang mampu membayar balik pinjaman mereka harus mula berbuat demikian untuk mengurangkan hutang dan kos pembiayaan keseluruhan yang mereka tanggung, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Menjelang tamatnya moratorium secara umum pada 30 September 2020, BNM telah bekerjasama rapat dengan institusi perbankan dalam usaha memastikan bantuan terus diberikan kepada peminjam yang terjejas akibat COVID-19.

Ia berkata institusi perbankan terus bersedia untuk membantu peminjam yang terjejas akibat COVID-19 melalui pelan pembayaran balik dan pengaturan lain yang bersesuaian dengan keadaan spesifik setiap peminjam.

“Bagaimanapun, semua peminjam lain yang mampu perlu mula membuat pembayaran balik, kerana tindakan ini akan mengurangkan hutang dan kos pembiayaan keseluruhan yang mereka tanggung,” katanya.

BNM berkata demikian dalam satu kenyataan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan moratorium tiga bulan bagi individu yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan impak daripada pandemik COVID-19.

“Pendekatan yang lebih bersasar bagi membantu peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ini adalah selaras dengan kawalan pergerakan yang telah dilonggarkan sejak awal Mei.

“Semenjak itu, hampir kesemua perniagaan dalam sektor ekonomi telah memulakan operasi dan semakin ramai rakyat Malaysia yang telah kembali bekerja,” kata bank pusat.

Sehubungan itu, banyak peminjam yang awalnya memilih untuk menyertai moratorium ini telah mula menyambung semula pembayaran balik pinjaman, tambahnya.

“Namun demikian, situasi adalah terus mencabar bagi sesetengah pihak dalam aspek pendapatan dan aliran tunai, terutamanya mereka yang telah kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan,” katanya.

Dalam hal ini, BNM berkata pendekatan bersasar boleh memastikan bahawa sumber kewangan dan perhatian dapat diberikan keutamaan untuk golongan yang paling memerlukan.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata jumlah peminjam individu yang meneruskan bayaran ansuran pinjaman dan tidak mengambil kemudahan moratorium (opt-out) meningkat  kepada 601,000 pada bulan Julai 2020 daripada 331,000 peminjam pada bulan April.

Manakala jumlah peminjam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang memilih untuk tidak mengambil kemudahan ini telah meningkat kepada 13,000 daripada 5,000 peminjam dalam tempoh yang sama.

Setakat 20 Julai, nilai moratorium yang telah diberi mencecah RM59 bilion dan secara keseluruhannya moratorium itu telah memberi manfaat kepada 7.7 juta rakyat Malaysia yang merangkumi 93 peratus peminjam individu. - Bernama 

Advertisement