Anda di sini

Nelayan dipenjara enam tahun, denda RM10,000 sebabkan kemalangan maut

Advertisement
 Feli Boy diiringi Joan Lee (kanan) selepas prosiding mahkamah tersebut.
TERTUDUH : Feli Boy diiringi Joan Lee (kanan) selepas prosiding mahkamah tersebut.

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM10,000 terhadap seorang nelayan selepas didapati bersalah menyebabkan kemalangan maut membabitkan seorang wanita dua tahun lepas.

Tertuduh, Feli Boy Lokoy, 22, didakwa melakukan kesalahan itu sehingga menyebabkan kematian Suriani Jakaria, 27, ketika kejadian.

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Batu 22, Jalan Apas, dalam daerah Tawau pada pada 20 Disember 2018, jam 10.45 pagi.

Semasa kejadian, Feli didakwa memandu sebuah kenderaan sebelum terbabas dan merempuh mangsa yang sedang menunggu bas di lokasi kejadian.

Kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukumannya diringankan memandangkan hanya dia yang bekerja menyara keluarga dengan pendapatan kasar sebagai nelayan sebanyak RM1,000 sebulan.

Feli yang berbaju putih kelihatan tenang semasa perbicaraan turut memaklumkan bahawa isterinya sedang mengandung anak pertama mereka dan merayu penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan dilakukan.

Bagaimanapun, pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee dalam hujahannya menegaskan meminta Mahkamah menjatuhkan hukuman berat selepas mengambil kira kepentingan awam, selain kesan terhadap keluarga terutamanya dua anak mangsa yang masih kecil selepas kematiannya.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bermula semalam dan denda RM10,000 dan jika gagal bayar enam bulan penjara.

Tertuduh juga hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun bermula tarikh sabitan kesalahan di samping itu,  Amir Shah turut menolak rayuan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman seperti dikemukakan pihak pembelaan.

  • oleh
  • Advertisement