Anda di sini

Musa umum miliki majoriti mudah bentuk kerajaan baharu

 Musa (lapan kiri) bersama para ADUN-ADUN yang bersama-sama akan membentuk Kerajaan Baharu.
KENANGAN: Musa (lapan kiri) bersama para ADUN-ADUN yang bersama-sama akan membentuk Kerajaan Baharu.

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mengumumkan beliau mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan mencukupi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Beliau juga ingin memaklumkan Menteri Keselamatan dalam Negeri  Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Nardin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri telah membuat Kunjungan Hormat kepada Yang Dipertua Negeri Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin pagi tadi untuk memaklumkan gabungan baharu yang menyokong Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperolehi sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu. 

"TYT telah meminta saya mengemukakan surat-surat akuan bersumpah yang mengesahkan sokongan mereka. 

"Saya telah menerima surat akuan bersumpah ADUN yang mengesahkan pendirian mereka  menyokong gabungan baharu yang saya ketuai," katanya dalam satu sidang media di sini.

Beliau berkata, kerajaan gabungan baharu akan berusaha memperbaiki dan menghasilkan dasar yang lebih baik untuk membawa Sabah keluar dari keadaan ekonomi yang getir pada saat ini akibat kelemahan Kerajaan Parti Warisan termasuk dalam mengatasi penularan wabak COVID-19.

"Bersama dengan bantuan Kerajaan Persekutuan, saya percaya kita bersama-sama dapat mengatasi cabaran yang berlaku, melonjakkan ekonomi, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan kehidupan masyarakat.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang secara konsisten mempercayai dan menyokong saya. 

"Saya tidak mengharapkan apa-apa kecuali komitmen dan dedikasi sepenuhnya dari semua wakil rakyat untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

ADUN yang hadir dalam sidang media itu termasuklah ADUN Panginatan Datuk Abidin Madingkir, ADUN Inanam Kenny Chua, ADUN Dilantik Kota Kinabalu Ronnie Loh dan ramai lagi.

Advertisement