Anda di sini

Lesen dibatalkan jika pengusaha abai peraturan, tidak patuhi syarat lesen

Advertisement
 Adam (dua kanan) bersama ahli-ahli majlis yang lain memeriksa bahagian dapur salah sebuah premis di pusat komersial Miri Times Square.
PERIKSA: Adam (dua kanan) bersama ahli-ahli majlis yang lain memeriksa bahagian dapur salah sebuah premis di pusat komersial Miri Times Square.

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) tidak akan teragak-agak membatalkan lesen penjualan makanan terhadap pengusaha yang didapati mengabaikan peraturan dan tidak mematuhi syarat lesen.

Datuk Bandar Miri Adam Yii mengingatkan pengusaha makanan agar terus mematuhi syarat pelesenan kedai makanan yang dikeluarkan MBM, selain mematuhi peraturan norma baharu untuk memerangi wabak COVID-19.

“Semasa operasi premis makanan awam sebelum ini, kami telah menerima maklum balas daripada pengusaha yang tidak begitu jelas dengan syarat pelesenan makanan.

“Itulah sebabnya dalam operasi pemeriksaan premis makanan hari ini, kami telah mencetak senarai syarat pelesenan makanan dan mengedarkan senarai panduan kepada mereka,” katanya kepada pemberita di sini semalam, ketika ditemui semasa melakukan pemeriksaan premis makanan oleh MBM di kawasan Miri Times Square di sini, semalam.

Adam memberitahu, objektif utama operasi pemeriksaan semalam diadakan ialah untuk memberi kesedaran yang lebih baik dalam kalangan pengusaha makanan mengenai perlunya mereka mematuhi syarat pelesenan makanan yang dikeluarkan MBM.

Jika tidak, pengusaha akan berdepan dengan masalah kerana MBM tidak akan bertolak ansur semasa operasi pemeriksaan serupa yang akan datang.

Selain mengedarkan risalah syarat pelesenan makanan kepada pengusaha makanan, pihak MBM juga memberikan notis mengenai kewajiban pengendali makanan memakai topeng, memakai pakaian yang bersih dan sesuai serta mengamalkan kebersihan yang baik dan menjaga kebersihan yang tinggi di tempat masing-masing.

Menurut Adam lagi, kegagalan mematuhi peraturan yang disyaratkan, adalah melanggar di bawah syarat-syarat pelesenan MBM yang boleh mengakibatkan pembatalan lesen.

Oleh itu katanya, pengusaha harus memandang serius pemberitahuan tersebut dengan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memenuhi syarat yang dinyatakan dengan jelas di bawah syarat pelesenan makanan pihak Majlis.

Advertisement