Anda di sini

Kejohanan Olahraga dan Balapan Padang & Padang Terbuka Sibu ditangguh

Advertisement
 Hii (kiri) dan Ting ketika menghadiri mesyuarat agung tahunan tersebut kelmarin.
TANGGUH: Hii (kiri) dan Ting ketika menghadiri mesyuarat agung tahunan tersebut kelmarin.

SIBU: Persatuan Olahraga Amatur Sibu (SAAA) memutuskan untuk menangguhkan edisi ke-14 Kejohanan Olahraga dan Balapan Padang & Padang Terbuka Sibu sehingga keadaan benar-benar selamat daripada wabak COVID-19.

Pengerusinya Dr Gregory Hii Sui Cheng berkata, kejohanan tersebut sepatutnya berlangsung pada 5 dan 6 September ini di Stadium Tun Zaidi.

“Walaupun begitu, keputusan tersebut diputuskan sepenuhnya selepas mendapat maklumat lanjut daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS),” katanya.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat agung tahunan SAAA di sini, malam kelmarin.

Lebih 30 ahli hadir pada mesyuarat berkenaan termasuk setiausaha SAAA Ting Siew Nguong, bendahari Kueh Tai Le dan wakil dari sekolah, Jabatan Pendidikan dan Kementerian Sukan Sarawak.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum ini menjelaskan bahawa atlet Sukan Malaysia (SUKMA) boleh memulakan latihan termasuk mereka yang terlibat dalam sukan berpasukan seperti bola sepak, berenang dan ragbi.

Hii berkata, keselamatan atlet adalah kebimbangan terbesar mereka dan SAAA sangat mengambil berat tentang perkara itu.

“Lebih baik acara tersebut ditangguhkan ke kemudian hari, atau mungkin pada tahun hadapan atau sehingga keadaan kembali sedia kala,” jelas beliau lagi.

Menurut Hii, Kejohanan Olahraga dan Balapan merupakan acara terbesar SAAA.

Pada tahun lalu, kejohanan itu telah berjaya menarik penyertaan 998 atlet.

Ini termasuk penyertaan pasukan dari Johor, Perak, Terengganu, Selangor, tiga pasukan dari Sabah serta seluruh Sarawak termasuk bahagian Kuching, Betong, Sarikei, Kapit, Bintulu, Mukah dan Miri.

Advertisement