Anda di sini

Jurgen Klopp dinobatkan Pengurus Terbaik Musim ini

Advertisement
KLOPP
KLOPP

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, dipilih sebagai Pengurus Terbaik Musim ini oleh Persatuan Pengurus (England) pada Isnin selepas menamatkan kemarau 30 tahun kelab untuk memenangi kejuaraan liga.

Klopp membimbing Liverpool memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim yang sama di mana mereka adalah juara Piala Kelab Dunia FIFA.

Anugerah itu diumumkan oleh bekas pengurus Manchester United, Alex Ferguson, bersempena dengan nama trofi itu sekarang.

“Jurgen, hebat,” kata Ferguson ketika memberitahu penyiaran Sky Sports. “Kita bercakap tentang Leeds United menghabiskan 16 tahun dalam Liga Kejuaraan tetapi Liverpool menanti 30 tahun untuk kejuaraan liga yang pertama, ia sangat hebat sekali.

“Anda selayaknya memenangi anugerah ini. Tahap prestasi pasukan anda adalah luar biasa. Personaliti anda menular ke seluruh kelab. Ia adalah prestasi yang hebat.

“Saya maafkan kamu kerana mengejutkan saya pukul 3.30 pagi untuk memberitahu saya bahawa kamu sudah memenangi liga! Apa pun, terima kasih, kamu selayaknya. Tahniah.”

Klopp, bekas jurulatih Borussia Dortmund, bercakap tentang Ferguson: “Saya tahu ia tidak sewajarnya sebagai pengurus Liverpool tetapi saya mengagumi beliau. Saya masih ingat beliau adalah pengurus dari Britain yang pertama saya temui.

“Kami bersarapan bersama. Saya tidak pasti jika beliau masih ingat tetapi saya mengingatinya kerana bagi saya ia adalah saat seperti bertemu dengan Paus. Ia sesuatu yang hebat dan dari musim pertama itu, kami serasi.

“Saya tidak fikir pada ketika ini saya akan memegang trofi di tangan saya yang diberi nama bersempena nama beliau (Ferguson).”

Chris Wilder, pemenang anugerah yang sama musim lepas, terpaksa akur di tempat kedua kali ini selepas musim pertama memberangsangkan Sheffield United dalam Liga Perdana Inggeris.

Dalam pada itu, Klopp mahu mengekalkan skuad yang sama untuk memastikan Liverpool kekal kompetetif pada musim hadapan.

Beliau menggunakan 24 pemain dalam Liga Perdana pada musim lepas.

Klopp juga memberikan peluang kepada beberapa pemain dari akademi kelab dalam pertandingan Piala FA dan Piala Liga untuk menangani kesesakan jadual perlawanan.

Tetapi beliau percaya mengekalkan asas pemain yang kecil akan mampu mengekalkan motivasi pemain.

“Penyelesaian tidak semestinya perlu memiliki skuad yang besar kerana kemudian anda menyedari anda tidak dapat menggunakan kesemua pemain,” kata Klopp.

“Pemain ini boleh bermain seperti yang mereka mahu kerana mereka tahu mereka perlu bermain.

“Mereka adalah manusia biasa dan tiada siapa boleh bertahan selama setahun tanpa bermain dan pada hari terakhir musim, diberitahu ‘sekarang kami memerlukan kamu’.

“Di antara sekarang dan kemudian, harus ada banyak latihan dan sokongan serta cabaran seperti itu.

“Saiz pasukan tidak penting bagi saya, kualiti dalam pasukan adalah sangat penting.” — AFP

Advertisement