Anda di sini

Aston Villa letak 80 juta pound untuk Grealish

Advertisement
 Pemain Aston Villa Grealish (tengah) bersaing mendapatkan bola dengan pemain West Ham Issa Diop (kanan) pada perlawanan Liga Perdana Inggeris antara West Ham United dan Aston Villa di The London Stadium, di timur London baru-baru ini. — Gambar AFP
SENGIT: Pemain Aston Villa Grealish (tengah) bersaing mendapatkan bola dengan pemain West Ham Issa Diop (kanan) pada perlawanan Liga Perdana Inggeris antara West Ham United dan Aston Villa di The London Stadium, di timur London baru-baru ini. — Gambar AFP

LONDON: Pemilik bersama kelab Aston Villa, Nassef Sawiris, dilaporkan meletakkan nilai yang tinggi – 80 juta pound – ke atas pemain buruan Manchester United, Jack Grealish pada musim panas ini.

United masih mengekalkan minat untuk mendapatkan kapten Villa itu, dengan gol dan prestasi beliau membantu kelab kekal dalam Liga Perdana Inggeris pada musim hadapan.

Grealish menjaringkan gol pada Ahad lepas untuk memastikan pasukannya seri 1-1 di West Ham United, sekali gus mengesahkan status kelab untuk kekal dalam Liga Perdana Inggeris pada musim hadapan.

Sekarang, menurut akhbar The Mirror, Sawiris mahukan kelab seperti United membayar jumlah yang sama seperti membayar Leicester City untuk mendapatkan Harry Maguire pada tahun lepas dengan nilai 80 juta pound.

Laporan menjelaskan Sawiris tidak bersedia untuk membenarkan aset utama beliau itu pergi dengan nilai yang rendah, walaupun pemain berusia 24 tahun itu sendiri menyuarakan hasrat menimbangkan masa depan beliau pada minggu ini.

Grealish kekal di Villa apabila kelab disingkirkan sebelum ini dan walaupun mengetuai kelab naik ke Liga Perdana musim lepas dan sekarang kekal untuk musim baharu, beliau mempunyai cita-cita lebih tinggi untuk memenangi kejuaraan.

Selain United, pengurus Manchester City, Pep Guardiola juga mengagumi pemain yang belum pernah beraksi bersama England itu.

Gol cantik beliau pada Ahad lepas adalah gol kesembilan musim ini ketika anak buah Dean Smith mengelak penyingkiran pada hari terakhir musim.

Villa mengutip lima mata dari tiga perlawanan terakhir untuk mengekalkan status dalam Liga Perdana, menyebabkan Watford, Bournemouth dan Norwich tersingkir ke Liga Kejuaraan musim hadapan.

Selepas perlawanan Smith berkata tentang prospek Grealish meninggalkan kelab dalam beberapa minggu: “Kami mempunyai pemilik kaya dan jika ada pihak mahukan beliau (Grealish), nilai beliau sememangnya tinggi.”

Beliau mempunyai kontrak di Villa Park sehingga 2023 dengan gaji 60,000 pound seminggu tetapi boleh menambah dua kali ganda gajinya dengan perpindahan ke kelab lain.

Selain dari itu, United juga boleh menawarkan Liga Juara-Juara kepada Grealish selepas mengesahkan  kelayakan ke kejohanan elit kelab Eropah itu pada hari terakhir musim dengan menewaskan Leicester City 2-0. — AFP

Advertisement