Anda di sini

Upah lumayan, pemandu van sewa sanggup bersekongkol menyeludup PATI di Serian

Advertisement
Penguat kuasa Kastam melakukan pemeriksaan semasa sekatan jalan raya tersebut
Penguat kuasa Kastam melakukan pemeriksaan semasa sekatan jalan raya tersebut. - Gambar ihsan JKDM

KUCHING: Cubaan seorang pemandu van sewa menyeludup masuk lima lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak dalam satu operasi pada Isnin.

Pengarah Kastam Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata kelima-lima PATI terbabit didapati bersembunyi di ruang tempat duduk belakang semasa diperiksa dalam sekatan jalan raya di Jalan Kuching-Serian sekitar jam 12.30 tengah malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati PATI tersebut dibawa dari stesen bas di Serian untuk dihantar kepada pihak lain di Kota Samarahan.

"Pemeriksaan awal ke atas kelima-lima warga Indonesia terbabit mendapati mereka masing-masing memiliki pasport, namun tiada cop masuk dari Jabatan Imigresen Malaysia.

PATI yang ditangkap ketika cuba diseludup masuk. - Gambar ihsan JKDM
PATI yang ditangkap ketika cuba diseludup masuk. - Gambar ihsan JKDM

"Dipercayai mereka masuk melalui jalan tikus di sempadan Sarawak-Kalimantan," katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya pemandu van sewa yang disyaki berperanan sebagai ejen pengangkut bersama kelima-lima PATI terbabit kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

"Ejen pengangkut dikatakan mendapat upah yang lumayan sehingga tidak khuatir kepada ancaman COVID-19 dan tidak gentar kepada tindakan undang-undang.

"Untuk mengaburi dan mengelak dari diperiksa pihak berkuasa, mereka dipercayai beroperasi dari lewat malam sehingga awal pagi," katanya.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Justeru, kita memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan atau kawalan tanpa permit import dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran. 

"Pihak JKDM juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan," ujarnya.

Saringan COVID-19 dijalankan sebagai langkah berjaga-jaga. - Gambar ihsan JKDM
Saringan COVID-19 dijalankan sebagai langkah berjaga-jaga. - Gambar ihsan JKDM
  • oleh
  • Advertisement