Anda di sini

Ronaldo bantu Juventus tundukkan Sampdoria 2-0

Advertisement
RONALDO
RONALDO

MILAN: Cristiano Ronaldo memastikan Juventus mengesahkan kejuaraan Serie A Itali buat kali kesembilan berturut-turut apabila menewaskan Sampdoria 2-0 dan dengan baki dua perlawanan pada Ahad.

Ronaldo membuka jaringan pada minit akhir sebelum rehat di Turin dan terlibat dalam gol kedua yang dijaringkan Federico Bernardeschi pada minit ke-66.

Beliau gagal menyempurnakan satu penalti lewat tetapi Juventus kini berkelebihan tujuh mata di hadapan Inter Milan dan tidak akan dapat dipintas lagi untuk mengesahkan kejuaraan liga yang ke-36 dalam sejarah kelab.

Kejuaraan itu adalah yang pertama buat Sarri dan mengekalkan rekod kejuaraan yang bermula dengan tiga  kejuaraan dimenangi ketika dibimbing Antonio Conte dari 2012 dan diteruskan Massimiliano Allegri untuk lima tahun berturut-turut.

Juventus mempunyai peluang untuk mengesahkan kejuaraan pada minggu lepas tetapi tewas 0-2 di Udinese.

Tetapi mereka tidak melakukan kesilapan yang sama di Stadium Allianz walaupun diberikan saingan yang kuat oleh Sampdoria, salah sebuah pasukan dengan prestasi memberangsangkan sejak musim bola sepak di Itali disambung semula.

“Ia adalah kejayaan yang hebat, walaupun paling sukar kerana kami mahukannya dan terjejas,” kata pemain pertahanan Juventus, Leonardo Bonucci.

“Kami memulakan satu laluan baharu dengan banyak persoalan, kami memberikan segala-galanya walaupun ada ketikanya keciciran mata.

“Ia adalah tahun yang sukar untuk semua orang di seluruh dunia, ia adalah sukar untuk kembali beraksi selepas begitu lama tidak bermain (kerana pandemik).”

Walaupun berusia 35 tahun, Ronaldo tetap cergas bermain dalam cuaca panas selepas perintah sekatan pergerakan dilonggarkan untuk menjaringkan 31 gol pada musim ini.

Penyerang antarabangsa Portugal itu sudah menjaringkan 10 gol sejak musim disambung semula di Itali pada 20 Jun, lebih banyak dari mana-mana pemain lain di Eropah.

Beliau juga menyamai pencapaian bekas juara Piala Dunia dari Itali, Felice Borel, yang menjadi pemain terakhir menjaringkan 31 gol untuk Juventus pada musim 1933/1934.

Tetapi beliau masih kurang tiga gol dari penjaring terbanyak liga setakat ini, Ciro Immobile, yang menjaringkan hatrik ketika Lazio membelasah Hellas Verona 5-1 pada perlawanan awal.

“Gembira dengan kejuaraan kedua berturut-turut dan untuk terus membina sejarah di kelab yang hebat ini,” kata Ronaldo di akaun rasmi Instagram beliau.

“Kejuaraan ini diabadikan kepada seluruh penyokong Juventus, terutama sekali mereka yang terkesan dan menderita dari pandemik yang mengejut kita semua.

“Ia bukan mudah! Keberanian, sikap dan keazaman anda adalah kekuatan yang kita perlu hadapi pada saingan yang sengit ini dan pada akhirnya, kejuaraan ini milik seluruh Itali.”

Juventus memecah kebuntuan pada minit akhir separuh masa pertama apabila Pjanic mengumpan bola kepada Ronaldo dalam kotak penalti sebelum Bernardeschi memastikan kejuaraan liga dalam tangan apabila merembat bola muntah dari rembatan Ronaldo.

Sampdoria gagal mencari rentak untuk mengembalikan saingan dan terpaksa bermain pada 20 minit terakhir dengan 10 pemain selepas Morten Thorsby dibuang padang. — AFP

Advertisement