Anda di sini

Pengedar filem Tamil tempatan tunggu lampu hijau dari India

Advertisement

SITUASI pandemik COVID-19 telah menyebabkan banyak industri menangguhkan pelbagai perkara, termasuk industri filem Kollywood yang terjejas akibat penangguhan itu.

Pawagam filem Tamil ditutup sepenuhnya sejak perintah berkurung di India pada 24 Mac dan penggambaran filem juga tidak dapat dilakukan.  

Kesan perintah berkurung di Tamil Nadu - salah satu daripada pusat penghasilan filem paling prolifik di Asia - ia menjejaskan industri pengedaran filem Tamil di Malaysia.

Pengurus Besar DMY Creations Sdn Bhd, T. Veerasegar berkata, syarikat pengedaran filem Tamil di Malaysia terjejas teruk dan pengedaran filem juga berkurangan.

“Kami telah membeli beberapa filem dari India malah telah membayar deposit, tetapi selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) di Malaysia dan perintah berkurung di India, kami tidak dapat menayangkan filem berkenaan di pawagam. Bagaimanapun, kami dapat semula deposit itu,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Sebilangan penerbit filem Tamil di India kini beralih kepada platform teratas (over-the-top/OTT) seperti perkhidmatan penstriman media digital untuk menayangkan filem-filem mereka, katanya.

Veerasegar, yang juga ahli jawatankuasa Pasaran Kandungan India dan Sub-benua India di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkata platform OTT menjadi satu-satunya medium kepada penerbit untuk menayangkan kandungan mereka, tetapi ini secara tidak langsung menjejaskan perniagaan syarikat pengedaran tempatan.

Ia menyebabkan kebanyakan pengedar Malaysia menjual filem dan siri Tamil kepada saluran televisyen tempatan dan platform lain.

Pengedar Malaysia filem 3D Tamil pertama 2.0 mengatakan walaupun pawagam di Malaysia telah dibuka pada 1 Julai selepas 15 minggu ditutup sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac, masih ramai yang tidak berminat keluar untuk menonton filem.

“Kami sedang menayangkan filem lama seperti ‘Viswasam’ dan ‘Komali’ bagi meninjau pendapat dan kami merasakan ia mungkin mengambil masa sebulan untuk keadaan kembali ‘hangat’. Mungkin pada September,” katanya.

Filem yang dibintangi pelakon terkenal tidak dinafikan menjadi daya penarik, katanya, dan ditambah terdapat beberapa filem yang dinantikan sebaik sahaja perintah berkurung di India berakhir.

— Bernama

Advertisement