Anda di sini

MotoGP: Quartararo menang berturut-turut di Jerez

Advertisement
 Pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT Fabio Quartararo (kiri) mendahului dalam perlumbaan MotoGP Grand Prix Andalucia di litar Jerez di Jerez de la Frontera kelmarin. — Gambar  AFP
MENCABAR: Pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT Fabio Quartararo (kiri) mendahului dalam perlumbaan MotoGP Grand Prix Andalucia di litar Jerez di Jerez de la Frontera kelmarin. — Gambar AFP

JEREZ DE LA FRONTERA: Pelumba dari Perancis, Fabio Quartararo meraih kemenangan kedua berturut-turut di Jerez pada Ahad apabila menguasai perlumbaan MotoGP Grand Prix Andalucia dengan beberapa jentera rosak dan terbabas dalam cuaca panas.

Quartararo, yang menunggang untuk pasukan sokongan Yamaha, mengatasi Maverick Vinales dan pelumba veteran, Valentino Rossi, kedua-duanya menunggang jentera Yamaha.

Dengan suhu mencecah 40 darjah Selsius dan suhu litar sekitar 60 darjah, hanya 13 dari 21 pelumba berjaya menamatkan perlumbaan.

“Ia adalah sukar,” kata pelumba berusia 21 tahun itu selepas Yamaha menyapu bersih tiga tempat  teratas buat kali pertama sejak enam tahun.

Beliau sudah memenangi dua perlumbaan berturut-turut pada musim yang baharu bermula kerana pandemik koronavirus (COVID-19), dengan kemenangan pertama di Grand Prix Sepanyol adalah yang pertama oleh pelumba dari Perancis dalam MotoGP sejak 1999.

Quartararo kini sudah  menang lebih banyak perlumbaan di kelas elit berbanding sepanjang empat musim beliau dalam Moto2, di mana beliau hanya meraih satu kemenangan dan dalam Moto3, di mana beliau menaiki podium dua kali tetapi tidak pernah menang.

“Ia berasa sangat menarik untuk meraih dua kemenangan berturut-turut,” kata Quartararo.

Quartararo kini memiliki kelebihan 50 mata berbanding juara bertahan, Marc Marquez, yang tidak bermula selepas mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan pada perlumbaan pertama.

Vinales berada di tempat kedua dengan 40 mata selepas menamatkan saingan di tempat kedua pada perlumbaan kedua berturut-turut.

Beliau mengakui kesilapan pada pusingan pertama memberi kesan kepada cabarannya.

“Saya cuba memintas Fabio (pada pusingan pertama) tetapi terbabas sedikit dan Valentino berjaya memintas saya,” katanya.

Ketika Quartararo menjarakkan kedudukan, Rossi, yang bermula di petak kedua, melonjak ke kedudukan kedua dengan memintas Vinales.

Ketika Quartararo terus menguasai perlumbaan, Rossi dan Vinales bersaing sengit untuk mengelak cabaran dari dua pemandu Ducati, Francesco Bagnaia, yang berjaya melonjak ke kedudukan kedua sebelum masalah enjin menyebabkannya menamatkan perlumbaan lebih awal dan kemudian Jack Miller, yang terbabas.

Pelumba dari Jepun, Takaaki Nagami dari pasukan Honda-LCR, menduduki tempat keempat selepas Bagnaia dan Miller terkeluar dari perlumbaan.

Rossi menunjukkan bahawa pada usia 41 tahun, beliau masih berupaya untuk bersaing.

Juara dunia tujuh kali itu masih meraikan kejayaannya seperti biasa ketika menaiki podium walaupun tiada penonton yang hadir kerana peraturan ketat larangan penonton ekoran pandemik COVID-19.

“Untuk kembali ke podium bukan seperti satu kemenangan tetapi hampir sama,” kata Rossi.

Quartararo,  yang tidak menyimpan rahsia mengagumi Rossi, juga bersetuju.

“Beliau adalah idola saya dan sentiasa menjadi idola,” kata Quartararo.

“Ia menarik untuk berada bersama beliau di podium pada kemenangan kedua saya.”

Pelumba Britain, Cal Crutchlow, yang kembali ke litar selepas masalah jentera selepas menyedari beliau mampu mengutip mata, ketinggalan lebih dari satu pusingan di belakang tiga penamat teratas.

Dengan Marquez tidak bermula, adiknya, Alex, pada perlumbaan kedua di kelas elit, bermula di petak terakhir (21) selepas terbabas dalam sesi  ujian masa kelayakan pada Sabtu tetapi berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

Dalam kelas Moto2, Enea Bastianini menewaskan Luca Marini sementara dalam kelas Moto3, Tatsuki Suzuki muncul juara. — AFP

Advertisement