Anda di sini

Lelaki menangis apabila didenda kerana cederakan wanita

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki berusia 41 tahun menangis apabila Mahkamah Majistret hari ini mengenakan hukuman denda RM5,000 terhadapnya, selepas dia mengaku bersalah mencederakan seorang wanita pada 21 Julai lalu. 

Majistret Zaiton Anuar juga mengarahkan Helmi Piee yang beralamatkan di Kampung Nanas, Simunjan itu untuk dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mencederakan Lizawati Mahidi, 37, menggunakan sebatang kayu di belakang sebuah kedai makan di Jalan Rock, di sini, pada jam 2.30 pagi. 

Untuk perbuatan itu, dia disabitkan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, tertuduh juga berhadapan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen yang sama kerana mencederakan rakan mangsa, Sabtuyah Abang, 35, dalam kejadian yang sama, pada jam 2.25 pagi.

Namun, dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan memilih untuk dibicarakan.

“Mahkamah menetapkan 25 Ogos depan sebagai pengurusan kes dan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM1,000 tunai berserta seorang penjamin tempatan,” ujar Zaiton semasa prosiding. 

Difahamkan, punca kejadian adalah timbul salah faham antara tertuduh dengan mangsa.

Menurut fakta kes, tertuduh menuduh mangsa mengambil gambar motosikal miliknya.

Tertuduh seterusnya berang dan bertindak memukul kedua-dua mangsa, seorang di bahagian kepala dan seorang lagi di bahagian tangan, sehingga mereka mengalami kecederaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqah Nyaie Ilin.

  • oleh
  • Advertisement