Anda di sini

Keputusan kes SRC: Najib didapati bersalah terhadap semua tujuh pertuduhan

Advertisement
Najib tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.
 - Gambar Bernama
Najib tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.
 - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan terhadap Najib, 67.

“Oleh itu saya mendapati tertuduh bersalah dan mensabitkan tertuduh terhadap kesemua tujuh pertuduhan,” kata hakim itu. - Bernama

Bagi dua pertuduhan CBT, Najib sebagai seorang ejen dan penjawat awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia serta Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC), didakwa menyeleweng RM27 juta dan RM5 juta daripada dana sebanyak RM4 bilion milik SRC.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa menyeleweng RM10 juta daripada RM4 bilion milik SRC di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015.

Ketiga-tiga pertuduhan adalah di bawah Seksyen 409 Kanun  Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya, Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, didakwa menggunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan RM42 juta menerusi penglibatan atau penyertaannya dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman yang dipohon daripada KWAP oleh SRC yang berjumlah RM4 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta hasil aktiviti haram menerusi Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Tepat Masa (Rentas) ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, AmBank Group Building, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 26 Disember, 2014, dan 10 Februari, 2015.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan jika sabit kesalahan, bekas perdana menteri itu berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Selepas hakim selesai menyampaikan keputusannya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam utama Najib, memohon supaya rayuan sebelum dijatuhkan hukuman didengar pada Isnin, namun Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk V. Sithambaram membantah. - Bernama 

Advertisement