Anda di sini

Clint Eastwood saman peruncit CBD guna namanya tanpa kebenaran

Advertisement
CLINT EASTWOOD

LEGENDA filem Clint Eastwood memfailkan dua tindakan undang-undang pada minggu lepas untuk menuntut ganti rugi sebanyak jutaan dolar daripada beberapa pemasar dan pengilang CBD yang mendakwa atau membuatkannya kelihatan seperti dia mengendos produk mereka.

Pelakon yang menjadi pengarah berusia 90 tahun dan memenangi beberapa anugerah Oscar itu berkata dalam salah satu tuntutan undang-undang yang difailkan di mahkamah persekutuan Los Angeles bahawa tiga syarikat CBD menggunakan artikel berita palsu yang memaparkan gambar Eastwood dan mengaitkan ungkapan kepadanya untuk mempromosikan dan menjual produk cannabidiol (CBD).

“Sebenrnya, Encik Eastwood tidak ada sebarang jenis kaitan langsung dengan mana-mana produk CBD dan tidak pernah memgadakan wawancara sedemikian,” tuntutan undang-undang itu menyatakan, dan mendakwa berlaku fitnah.

“Menerusi tindakan ini, Encik Eastwood mahu mempertanggungjawabkan orang dan entiti yang dengan salah merangka skim ini, menyebar kenyataan fakta yang palsu dan berniat jahat mengenainya, dan melanggar undang-undang dengan mengaut keuntungan daripada nama dan rupanya,” tambah tuntutan undang-undang itu.

Tiga syarikat CBD yang dituduh menghasilkan artikel palsu yang mula-mula muncul pada tahun lepas dinamakan sebagai Sera Labs Inc, Greendios dan For Our Vets LLC.

Tuntutan undang-undang itu juga menyatakan tiga syarikat tersebut menghantar emel spam dengan tajuk ‘Clint Eastwood Exposes Shocking Secret Today’ (Clint Eastwood Mendedahkan Rahsia Mengejutkan Pada Hari Ini).

Isi emel kononnya menunjukkan temu ramah – yang tidak pernah diadakan – dengan program Today Show keluaran NBC.

Tuntutan undang-undang kedua menyasari 10 buah syarikat dan individu di beberapa negeri Amerika Syarikat yang dituduh menggunakan kod pengaturcaraan untuk memasukkan nama pelakon itu dalam metatag tersembunyi untuk menghalakan carian dalam talian ke laman sesawang mereka.

“Dengan menggunakan nama Encik Eastwood dalam metatag tersembunyi, defendan telah secara kiasan memaparkan tanda dengan cop dagang Encik Eastwood di depan stor dalam talian mereka untuk menarik pelanggan dan membuat pengguna percaya bahawa Encik Eastwood ada kaitan dengan/atau mengendos produk CBD defendan, sedangkan tiada kaitan sedemikian sebenarnya wujud,” dokumen mahkamah menyebut.

Pelakon ‘Dirty Harry’ itu menjelaskan dalam kedua-dua tuntutan undang-undang bahawa dia tidak akan membiarkan nama atau imejnya digunakan untuk menjual produk CBD.

“Seperti kebanyakan wataknya yang paling terkenal, Encik Eastwood tidak takut untuk mendepani salah laku dan mempertanggungjawabkan mereka yang cuba untuk mengaut keuntungan yang menyalahi undang-undang daripada nama atau rupanya,” kata dokumen tersebut.

Eastwood menuntut ganti rugi jutaan dolar dan juga meminta mahkamah untuk mengarahkan syarikat untuk menyerahkan semua pendapatan, keuntungan dan manfaat yang dihasilkan dari kelakuan mereka.

Syarikat dan individu yang dinamakan di dalam dua tuntutan undang-undang itu tidak dapat dihubungi segera bagi mendapatkan kenyataan. — AFP

Advertisement