Anda di sini

YB DAP, Wong King Wei keluar parti

Advertisement
 

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Wong King Wei (gambar) mengumumkannya keluar daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) serta-merta pada malam Ahad.

Menerusi kenyataan media pada pukul 10 malam, beliau juga tidak menerima pencalonan semula oleh DAP bagi mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya negeri akan datang.

Beliau turut menegaskan tidak akan bertanding pada mana-mana pilihan raya dalam masa terdekat.

"Saya kekal sebagai ADUN Padungan sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan," katanya yang juga Naib Presiden DAP Sarawak.

Keputusan diambil katanya kerana kecewa dengan cara DAP ditadbir yang sudah menyimpang dari matlamat asal.

Politik menurutnya bukan hanya tentang serang-menyerang lawan.

"Ketika DAP merupakan pembangkang, kita banyak melakukannya (menyerang) dan ketika menjadi kerajaan kita masih melakukan perkara sama. 

"Politik Sarawak memerlukan sesuatu yang positif dalam memastikan ia maju ke hadapan," katanya.

Menurutnya lagi, selepas ini beliau akan memberi tumpuan terhadap kerjayanya sebagai peguam dan memberi tumpuan lebih terhadap keluarga.

Advertisement