Anda di sini

Kerajaan Pusat perlu pertimbang tambah insentif dalam sektor pelancongan

Advertisement
 Christina ketika berbahas dalam sidang Parlimen semalam.
BERBAHAS: Christina ketika berbahas dalam sidang Parlimen semalam.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat perlu mempertimbangkan untuk menambah insentif khususnya pakej rangsangan agar pengusaha pelancongan dalam negara ini mampu bertahan dengan keadaan mencabar pada masa kini.

Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew berkata, antara insentif berkenaan ialah melanjutkan tempoh moratorium dan Program Subsidi Upah Pekerja sehingga bulan Disember 2020.

"Usaha ini boleh meringankan beban syarikat-syarikat pelancongan di negara kita memandangkan para pengusaha pelancongan tidak mempunyai sumber pendapatan pada masa kini.

"Selain itu, saya juga ingin mengetahui apakah status cukai pelancongan yang dikumpul pada 2019?.

"Saya ingin menyeru kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memberikan keseluruhan (100 peratus) cukai pelancongan yang diperolehi kepada setiap negeri agar dapat memberi industri pelancongan di negeri-negeri dalam Malaysia dapat dibantu sewajarnya," katanya dalam Ucapan Perbahasan di Persidangan Dewan Rakyat, di sini.

Dalam pada itu, Christina yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pada ucapannya pada sidang Parlimen tahun lalu, beliau sudah membuat permohonan kepada Kerajaan Pusat untuk mempertimbangkan agar memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri khusus dalam pengawalan dan pelesenan pelancongan.

Katanya antaranya ialah, lesen masuk dan keluar untuk ejen pelancongan, lesen pemandu pelancong, lesen bas pelancong, lesen tiket, dan lesen untuk  mengendalikan sekolah atau institusi pelancongan.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menyeru kepada Kerajaan Pusat untuk mempertimbangkan permohonan berkenaan.

"Pemberian kuasa ini akan dapat memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk mengawal selia dan memperkemas kini peraturan industri yang sesuai dengan perkembangan di dalam negeri," katanya.

Christina percaya usaha berkenaan dapat memberi faedah kepada Kerajaan Pusat jika industri pelancongan negeri dapat membangun secara pesat dan teratur melalui Kerajaan Negeri.


 

Advertisement